Membawang Hari Ini

Debaran Paku Pontianak

pakuBIARPUN industri perfileman tidak pernah suram dengan filem bergenre seram, namun ia bukan halangan buat penerbit termasuk Mejar David Teo memberhentikan pengeluaran cerita bergenre sama.

Selepas berjaya membuatkan penonton berdebar dan menjerit ketakutan menerusi filem Minyak Dagu awal tahun lalu, kali ini, Metrowealth (MIG) tampil dengan filem ke-80 mereka, Paku Pontianak.

Filem arahan Ismail Bob Hashim ini melihatkan gandingan pertama kali Pekin Ibrahim bersama Uqasha Senrose di samping Hidayah Samsudin dan Along Eyzendy.

Paku Pontianak berkisarkan Adam dan keluarganya menyuruh Melati tinggal bersama mereka selepas Melati dilanggar dalam satu kemalangan. Gadis yang bernama Melati itu menghidap amnesia dan lupa ingatan.

Namun, kedatangannya di situ telah menyebabkan pelbagai kejadian misteri berlaku. Mungkin juga kisah silam Melati menghantui hidupnya.

Biarpun perjalanan cerita bermula sedikit perlahan, namun ia tidak membosankan penonton yang mula mengikut momentum jalan cerita sehingga akhir.

Apatah lagi, tatkala segala kejadian misteri yang berlaku membuatkan penonton mula terkejut dan terjerit ketakutan.

‘Makanan’ Bob

Ternyata sentuhan Bob pada filem seram masih berbisa, apatah lagi Bob sebelum ini lebih banyak menghasilkan filem komedi dan kali terakhir mengarahkan filem seram menerusi Sumpahan Kum Kum.

Permainan sudut kamera, pencahayaan yang suram bersama muzik latar yang cukup mendebarkan sudah cukup membuatkan penonton seperti sama-sama berada di dalam filem.

Apatah lagi, Bob yang lebih banyak menggunakan latar hutan pada waktu malam sudah cukup meletakkan rasa seram sejuk pada penonton dan membuatkan bulu roma tegak berdiri.

Biarpun beberapa babak seperti hantu terbang sudah biasa dilihat dalam filem Melayu, namun tidak keterlaluan untuk penulis katakan bahawa ada kalanya penonton seolah-olah sedang menonton filem seram Thailand.

Pekin menyerlah, Uqasha tenggelam

Menyentuh lakonan pelakon utamanya pula, bagi penulis tiada apa yang perlu disentuh mengenai lakonan Pekin kerana sebagai pelakon yang berpengalaman, Pekin sudah meletakkan lakonannya di tahap tersendiri.

Bagaimanapun tidak bagi kekasih hatinya, Uqasha, mungkin kerana masih baru lakonannya masih dilihat agak kaku.

Namun Uqasha berjaya membuatkan penonton terasa debarannya apabila dia membawakan watak hantu, terutama sekali apabila melihat dia menari.

Secara keseluruhan, bagi anda yang rindukan sebuah filem seram setanding filem Thailand, jangan lupa saksikan filem Paku Pontianak di pawagam berdekatan anda.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");