Jenayah

Dipenjara kerana tiada Mykad

ic

KLUANG – Kegagalan seorang bapa mendaftarkan anak sulungnya untuk mendapatkan kad pengenalan (MyKad) menyebabkan anak itu dipenjarakan selama lebih kurang empat bulan di Penjara Kluang, bermula 23 Mac lalu.

Penghuni penjara yang berusia 24 tahun itu, ditahan pihak berkuasa sewaktu pulang dari kerja di Masai, Pasir Gudang, kerana tidak memiliki kad pengenalan diri.

Anak jati Sabah yang berhijrah ke Semenanjung sejak 1997 itu berkata, sewaktu kecil, dia mempunyai sijil kelahiran, tetapi disebabkan kesilapan bapanya membuat pembetulan pada namanya yang tertulis pada dokumen itu memberi padah kepadanya.

“Bermula daripada kesilapan itu, saya sukar membuat kad pengenalan hanya kerana nama bapa tidak sama dengan nama yang tertera dalam sijil surat beranak.

“Disebabkan ketiadaan kad pengenalan, sudah dua kali saya ditahan pihak Imigresen. Kali pertama saya ditahan ketika bekerja di Johor Bahru semasa berumur 15 tahun, tetapi saya hanya ditahan sehari sahaja kemudian dibebaskan.

“Kali ini, saya terpaksa menghadapi kenyataan hidup sebagai banduan di dalam Penjara Kluang untuk tempoh yang agak lama selain turut akan berada di dalam pusat tahanan Imigresen sementara menunggu pengesahan saya sebagai warganegara Malaysia,” katanya yang selamat melahirkan bayi perempuan di dalam Penjara Kluang, di sini, 8 Ogos lalu.

Sementara itu, ayahnya yang berusia 63 tahun, meluahkan rasa kesal dengan kejadian itu dan akan segera mendapatkan pengesahan kewarganegaraan agar anaknya dibebaskan daripada pusat tahanan tersebut.

Akuinya, kejahilan tentang urusan pendaftaran kad pengenalan anak ketika berada di Sabah menyebabkan dua daripada enam anaknya tiada dokumen pengenalan diri.

“Waktu itu, tiada siapa yang mahu membantu saya untuk menguruskannya.

“Keadaan ini juga telah menyebabkan dua anak saya langsung tidak bersekolah dan hanya belajar sendiri di rumah bersama adik yang berjaya disekolahkan,” katanya.
Pengajaran buat ibu bapa

Insiden yang menimpa penghuni penjara itu adalah salah satu contoh yang boleh dijadikan tauladan kepada semua ibu bapa, demikian kata Pengarah Penjara Kluang, Timbalan Komisioner Penjara (TKPj) Mat Rashid Jahlil.

“Dalam kes ini, dia dimasukkan ke Penjara Kluang pada 23 Mac lalu, kerana tidak memiliki kad pengenalan ketika pemeriksaan polis di tempat kerjanya di Masai, Johor.

“Namun, apa yang menyedihkan, dia dalam keadaan sarat mengandung sedangkan dia belum bernikah dengan tunangnya ketika dimasukkan ke dalam tahanan kami,” katanya ketika hadir menyempurnakan penyerahan anak penghuni penjara kepada keluarga kandung wanita itu, di Penjara Kluang, di sini, semalam.

Mat Rashid berkata, merujuk kepada peraturan penjara, setiap tahanan wanita yang melahirkan anak ketika dalam penjara hanya dibenarkan untuk menjaga anaknya sehingga berusia tiga tahun.

Jelasnya, berlainan dengan kes yang dilalui wanita itu, kerana pada Rabu ini (14 Ogos) dia akan dipindahkan ke Pusat Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian, berikutan kesalahannya tidak memiliki kad pengenalan.

Tambahnya, dia akan berada di sana sehingga menanti proses mendapatkan pengesahan pengenalan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Disebabkan keadaan di sana berlainan dengan suasana di penjara, maka kami membenarkan dia menyerahkan anaknya untuk dijaga ibu bapanya sementara waktu.

“Anaknya masih kecil dan baru dilahirkan 8 Ogos lalu, serta perlu penjagaan rapi oleh ahli keluarganya,” katanya.

Mat Rasid turut menasihatkan masyarakat agar mengambil iktibar dengan kejadian yang berlaku yang boleh dijadikan pengajaran khususnya ibu bapa agar tidak mengabaikan tanggungjawab yang sepatutnya menjadi keutamaan mereka.

Katanya, dengan peristiwa yang berlaku itu diharap selepas ini tiada kes seperti itu akan berulang kembali.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");