Membawang Hari Ini

Farawahida kahwin usahawan Disember ini

 

wahida1LAMA sudah tidak mendengar khabar mengenai penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu, Farawahida. Kali terakhir penyanyi berusia 28 tahun itu hangat diperkatakan di media ekoran gosip hubungannya bersama komposer Zulfekar.

Bertemu dengan Farawahida ketika majlis Melodi Raya di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, penyanyi berketurunan Melayu, Pakistan itu mendedahkan tidak pernah menjalinkan hubungan dengan Zulfekar, malah mengakui bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasih yang sudah dikenali selama lapan tahun pada bulan Disember ini.

Kepada Kosmo!, Farawahida melanjutkan perbualannya itu.

KOSMO: Lama sudah tidak muncul, apakah perkembangan terkini anda sekarang?

FARAWAHIDA: Saya masih lagi wujud dalam industri seni, malah masih aktif menyanyi untuk majlis-majlis korporat dan sebagainya. Dalam pada itu, saya juga sedang mengumpul bahan untuk single kedua manakala single pertama iaitu Jangan Tanya Aku Lagi sudah diputarkan di corong-corong radio.

Bagaimanakah lagu yang anda inginkan untuk single kedua nanti?

Saya beri peluang kepada sesiapa sahaja untuk membuat lagu single kedua itu. Komposer muda atau sesiapa yang mempunyai bakat dalam menghasilkan lagu boleh hantar kepada saya.

Bagaimana pula dengan kehidupan peribadi anda?

Saya bakal bernikah pada bulan Disember ini. Saya dan pasangan tidak akan melakukan adat merisik dan bertunang, tetapi mengambil keputusan untuk terus bernikah.

Kenapakah anda mengambil keputusan begitu?

Saya dengan dia sudah lama bercinta. Lapan tahun. Jadi, kami ambil keputusan untuk tidak lagi memanjangkan hubungan kami dengan melakukan pertunangan.
FARAWAHIDA bakal berkahwin dengan kekasihnya yang telah bersamanya sejak lapan tahun lalu.

Lapan tahun bercinta? Bagaimana pula dengan gosip hubungan anda dengan Zulfekar selama ini?

Saya dengan dia (Zulfekar) tidak pernah bercinta. Hubungan kami tidak lebih sekadar rakan kerja sahaja. Gosip-gosip selama ini tidak benar.

Apakah perasaan anda kerana sehingga kini ramai lagi yang mendakwa anda pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Zulfekar?

Sejujurnya saya berasa sangat sedih dan tertekan. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana teman lelaki sangat memahami keadaan saya dan tidak mempercayai gosip tersebut. Gosip itu langsung tidak memberi kesan terhadap hubungan cinta kami selama ini.

Boleh kongsikan mengenai siapakah gerangan bakal suami anda?

Apa yang boleh saya cakap, dia berusia 29 tahun. Dia bukan orang industri dan bukan suami orang (ketawa). Dia bekerja dengan pakar jantung dan kini baharu berkecimpung dalam dunia perniagaan hartanah.

Di manakah majlis perkahwinan anda bakal berlangsung?

Insya-Allah, majlis akan diadakan di kampung saya iaitu Taiping, Perak. Majlis pernikahan akan diadakan pada sebelah siang manakala majlis bersanding akan diadakan pada sebelah malam pula.

Apakah konsep perkahwinan anda itu nanti? Sudah buat sebarang persiapan?

Saya mengimpikan sebuah majlis berkonsepkan ala kampung. Persiapan perkahwinan saya sedang berlangsung. Saya juga akan pergi kursus kahwin.

Kenapakah anda memilih hujung tahun ini untuk melangsungkan perkahwinan?

Sebenarnya saya tunggu kakak saya yang kedua balik ke sini. Dia sekarang menetap di Jepun, ikut suami dia bekerja di sana. Jadi kebiasaannya dia boleh balik hujung tahun. Sebab itu saya pilih untuk melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");