Berita Hari Ini

Felda Ambil Langkah Bendung Penyebaran Fahaman Syiah

Tan Sri Mohd Isa Abd Samad

JEMPOL: Felda akan mengambil pendekatan drastik bagi membendung penularan gerakan serta penyebaran fahaman Syiah di kawasan Felda di seluruh negara.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad berkata untuk itu, Felda akan mengadakan satu taklimat khas mengenai Syiah kepada semua pimpinan termasuk pengurusan (Felda), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), wanita, belia, badan bukan kerajaan (NGO) serta anggota jawatankuasa masjid dan surau di Kuala Lumpur pada 29 Ogos ini.

“Pada taklimat itu nanti, kita akan memberikan penerangan yang jelas mengenai Syiah, kenapa kerajaan mengharamkannya dan kenapa fahaman ini boleh merugikan umat Islam daripada segi perpaduan Islam itu sendiri,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Dewan Felda Jaya, Bandar Seri Jempol di sini, malam Sabtu.

Mohd Isa yang juga anggota Parlimen Jempol berharap menerusi taklimat khas ini, pimpinan Felda akan mendapat pengetahuan mengenai fahaman Syiah dan dapat menjalankan tanggungjawab mengawasi serta membendung fahaman itu daripada menular di kawasan Felda.

“Pemantuan kita jalankan tetapi seperti kita sedia maklum bahawa bukan mudah untuk kita mengenal pasti pengikut Syiah ini kerana mereka ini boleh berpura-pura dan sebagainya.

“Bagaimanapun setakat ini, kita belum mendapat laporan mengenainya (penularan fahaman syiah di Felda),” katanya.

Katanya penyebaran fahaman Syiah mesti dibendung kerana jika gerakan ini dibiarkan berterusan, ia bukan sahaja boleh mengancam keselamatan negara, malah mengakibatkan perpecahan ummah menjadi semakin parah.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");