Berita Hari Ini

Jualan motosikal tidak terjejas

Kesesakan jalan raya yang semakin meningkat menyebabkan motosikal tetap menjadi pilihan. - Foto Bernama
Kesesakan jalan raya yang semakin meningkat menyebabkan motosikal tetap menjadi pilihan. – Foto Bernama

DASAR penurunan harga kereta yang diumumkan kerajaan baru-baru ini dilihat tidak akan memberi cabaran dan kesan ketara kepada industri permotoran kerana pengguna dilihat akan terus memilih menggunakan motosikal.

Malah, berdasarkan unjuran ekonomi Malaysia untuk tiga tahun akan datang, pendaftaran dan pembelian motosikal dijangka mencatatkan peningkatan purata 10 peratus setiap tahun.

Ketua Pemasaran Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), Amarjeet Singh Sran berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan penggunaan motosikal berbanding kereta pada hari ini.

“Menurut skala ekonomi, harga bahan api tidak pernah turun tetapi semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Selain itu, perubahan pembangunan di kawasan sekeliling dan keadaan jalan raya yang sesak juga memainkan peranan sehingga memberi pilihan kepada pengguna sama ada ingin menggunakan kereta atau kenderaan yang lebih kecil,” katanya.

Jangkaan Modenas mengenai peningkatan jumlah pendaftaran motosikal dalam tempoh tiga tahun lagi juga disokong pembinaan kereta api Mass Rapid Transit (MRT), di mana pengguna yang menggunakan perkhidmatan tersebut akan memilih untuk meletakkan motosikal di stesen MRT berbanding menggunakan kereta.

“Kemudahan untuk berulang-alik di Kuala Lumpur masih lagi dengan menggunakan motosikal, kerana keadaan trafik hari ini,” katanya.

Menurut Amarjeet, jika dilihat pada statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pendaftaran kereta juga sedikit menurun sejak beberapa tahun lalu, dan JPJ turut menyasarkan peningkatan 10 peratus penggunaan motosikal dua hingga tiga tahun lagi.

Selain itu, Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia yang membenarkan motosikal digunakan di lebuh raya, secara tidak langsung membantu menjadikan motosikal pilihan utama pengguna yang perlu berulang-alik ke bandar.

Sementara itu, Modenas juga akan memperkenalkan produk baru yang sesuai untuk pasaran Asia menjelang tahun depan sebagai perancangan terbaru syarikat itu selain terus menjadikan pelajar kolej, individu kelas pertengahan dan bawahan dan peniaga harian sebagai golongan sasaran.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");