Berita Hari Ini

Kadi: Bina surau perlu kebenaran

SURAU

SENAI – Pihak pengurusan surau persendirian wajib menjaga kesucian rumah ibadat daripada dicemari perkara yang melanggar syariat Islam termasuk perbuatan menyekutukan ALLAH atau disalahgunakan.

Kadi Besar Johor, Mohd Nooh Kadri berkata, jawatankuasa masjid dan pihak pengurusan bertanggungjawab di atas penjagaan rumah ibadat itu termasuk di kawasan persendirian.

“Contohnya bagi surau persendirian seperti di kawasan rehat dan rawat lebuh raya, ia diurus oleh pihak PLUS (Projek Lebuhraya Utara Selatan).

“Pihak pengurusan bertanggungjawab menjaga tempat ibadat itu dari segi kesucian termasuk imej, kebersihan dan tidak dicemari perkara yang melanggar syariat,” katanya.

Menurutnya, kesemua masjid dan surau awam serta surau persendirian yang mahu dibina perlu mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Johor (Maij) melalui kadi daerah masing-masing.

“Setiap permohonan perlu mematuhi prosedur ditetapkan termasuk mewakafkan tanah bagi masjid atau surau awam manakala surau persendirian perlu mempunyai tanah khas untuk pembinaan tempat solat.

“Kemudian pihak Jabatan Mufti akan ke tapak pembinaan untuk proses pengukuran arah kiblat sebelum proses pembinaan bermula,” katanya.

Mohd Nooh berkata, terdapat beberapa permohonan pembinaan surau dan masjid yang turut ditangguhkan kerana tidak mematuhi peraturan terutamanya membabitkan urusan wakaf tanah.

“Selain itu terdapat juga permohonan yang ditolak kerana terdapat masjid dalam kawasan berdekatan dan tidak mempunyai keperluan untuk membina surau atau masjid tambahan dalam kawasan sama.

“Biasanya jarak ditetapkan antara masjid dan surau adalah 1.5 kilometer manakala jarak antara masjid dan masjid lain adalah dua kilometer mengikut kesesuaian dan kepadatan penduduk,” katanya.

Katanya, setiap masjid atau surau yang dibina turut mempunyai beberapa reka bentuk khusus yang perlu dipatuhi termasuk ruang mihrab bagi melambangkan ia sebagai tempat ibadat umat Islam.

“Reka bentuk masjid dan surau hendaklah menepati ciri-ciri Islam selain melantik imam yang bertauliah dan mempunyai pemisah antara ruangan solat lelaki dan perempuan.

“Kita juga tidak galakkan hiasan kalimah yang terlalu sarat supaya tidak mengganggu tumpuan jemaah ketika bersolat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, setakat ini terdapat lebih 2,000 surau dan 801 masjid dibina di seluruh negeri ini yang turut dipantau pihak Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dari semasa ke semasa.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");