Perak Hari Ini

Kegiatan Pemburuan Haram Di Hutan Royal Belum Dipantau Rapi

noleeKerajaan Perak melaksanakan pelbagai usaha pro-aktif untuk membanteras kegiatan pemburuan haram khususnya di kawasan Hutan Royal Belum, dekat Temengor yang kaya dengan khazanah fauna dan flora.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Nolee Ashilin Mohammed Radzi (BN-Tualang Sekah), beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) turut tampil membantu kerajaan negeri melindungi sistem ekologi di kawasan tersebut.

“Pihak Perbadanan Hutan negeri Perak melakukan penguatkuasaan dengan rondaan berkala yang lebih kerap di sekitar tasik dan daratan terutama pada hari minggu serta cuti umum.

“Selain itu, rondaan juga dibuat di kawasan sepanjang Lebuhraya Timur-Barat berdasarkan laporan yang disalurkan oleh sumber-sumber termasuklah NGO.

“Hasil daripada 135 rondaan yang dijalankan, sejumlah 38 jerat haram dimusnahkan dan dua kem pemburu haram di kawasan hutan Royal Belum turut dirobohkan,” jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Salbiah Mohamed (BN-Temengor) yang ingin tahu usaha yang dilakukan kerajaan negeri untuk menangani kegiatan pemburuan haram di Hutan Royal Belum pada hari ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-13 di Ipoh, hari ini.

Tambah Nolee Ashilin lagi, pihak perbadanan juga telah mewujudkan pos-pos pemeriksaan di pintu masuk Royal Belum yang beroperasi 24 jam sehari bagi memantau pergerakan keluar masuk bot di Taman Negeri Royal Belum.

Jabatan Perhilitan juga katanya, memasang 65 kamera perangkap di sepanjang koridor Lebuhraya Timur-Barat untuk mengesan aktiviti-aktiviti pemburu haram selain merekodkan pergerakan spesis haiwan.

Menurut beliau lagi, mulai September 2012, Jabatan Perhutanan Daerah Hulu Perak telah menubuhkan unit tindakan khas bagi menjalankan aktiviti pencegahan bersepadu dengan kerjasama badan penguatkuasa lain di bawah program Central Forest Spine.

“Hasil operasi yang dilakukan sejak dua tahun kebelakangan ini, Unit Pencegahan Penyeludup (UPP) berjaya menahan 14 pemburu haram yang melibatkan 30 warga asing terdiri warga Myanmar dan Vietnam selain sembilan rakyat tempatan.

“Polis Marin juga melakukan pemeriksaan ke atas bot-bot di Tasik Temengor serta kenderaan yang diletakkan di jeti awam Pulau Banding,” katanya.

Tambah Nolee Ashilin, program-program kesedaran juga dianjurkan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang ancaman serta kemusnahan pelbagai biologi di Royal Belum, Temengor.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");