Jenayah

Keluarga cemas rumah dibaling bom petrol

bom petrol

Kapar: Keluarga seorang pengurus syarikat keselamatan, berdepan detik cemas apabila rumah mereka dibaling dua bom petrol dalam kejadian di taman perumahan dekat Aman Perdana, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu menyebabkan kereta jenis Mazda milik mangsa, rosak teruk akibat disambar api bersama bahagian pekarangan rumah yang turut terbakar.

Mangsa, M Mosses, 54, berkata ketika kejadian beliau bersama bersama isteri serta seorang anak perempuannya sedang tidur, terkejut apabila mendengar salakan anjing peliharaan sebelum dikejutkan bunyi letupan di luar rumah.

Hidu bau petrol

“Ketika meninjau menerusi tingkap, saya dapati api sedang menyala di luar rumah disusuli dua letupan. Saya bergegas keluar sebelum melihat bahagian depan rumah sedang terbakar dengan api mula menyambar kereta.

“Saya turut terhidu bau petrol yang kuat dan mujur saya bertindak pantas memadamkan api. Namun, balingan bom petrol ini menyebabkan anjing peliharaan saya turut mengalami kecederaan akibat terkena api,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Mosses berkata, dia tidak dapat mengecam individu yang melakukan perbuatan terbabit kerana keadaan ketika kejadian sangat gelap.

“Namun, pengawal keselamatan yang bertugas di perumahan ini memberitahu melihat seorang lelaki menaiki sebuah motosikal dan berhenti di tepi jalan berhampiran rumah saya sebelum kejadian berlaku,” katanya.

“Masa sama, sebuah kereta PROTON Iswara Aeroback, berwarna putih dilihat turut berada berhampiran lelaki yang menunggang motosikal itu,” dakwanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu yang sedang disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");