Membawang Hari Ini

Kenangan silam Syawal Emma, Chacha

KOSMO EMMAKILAUAN primadona dan nostalgik jelas terpancar daripada dekorasi setiap sudut kafe antik Ipoh Station, Puchong, Selangor.

Atas dasar itu Kosmo! memilih lokasi tersebut untuk sesi fotografi bersama pasangan adik-beradik selebriti, Emma dan Chacha Maembong tahun ini.

Mengusik kenangan beraya sebelum bergelar artis dan kini setelah nama semakin bersinar, Emma menjelaskan perubahan itu dirasakan sangat cepat dan mengujakan.

“Tahun lepas drama Kau Yang Terindah sedang ditayangkan pada hari raya, ketika menziarah sudah ada sanak-saudara yang perasan tapi masih tertanya-tanya.

“Hari raya masih sama cuma bezanya populariti. Kalau dahulunya saya nakal dan boleh buat perangai sesuka hati, tetapi sekarang kena lebih menjaga langkah dan perlakuan takut timbul kata-kata kurang senang.

“Apapun, kami masih seperti dahulu, adik-beradik yang happy go lucky dan senang berkawan dengan sesiapa sahaja,” ujar Emma atau nama sebenarnya Che Fatimah Rohani Ismail,21.

Tambahnya, ritual sambutan raya keluarganya masih sama seperti tahun-tahun sudah. Hari raya pertama diluangkan bersama bapanya, Ismail Embong di Kuala Lumpur sebelum menziarahi rumah ibunya pada sebelah petang.

Main layang-layang

Pada sebelah malam barulah Emma sekeluarga bertolak pulang ke kampung di Batu Buruk, Terengganu dan menyambung kemeriahan Aidilfitri di kampung sebelah bapanya.

“Biasanya, kami akan beraya di sana (Terengganu) selama seminggu sebab sudah tiada sesiapa lagi di Kuala Lumpur ketika itu.

“Malah, sudah menjadi kebiasaan juga buat keluarga kami di Terengganu mengadakan kenduri kecil-kecilan pada hari raya ketiga,” katanya.

Sungguh berbeza cara Emma dan Chacha meraikan lebaran saban tahun. Ini kerana mereka akan menjejakkan kaki di Pantai Batu Buruk untuk bermain layang-layang yang merupakan agenda wajib mereka pada setiap hari raya.

“Kemeriahan masak bersama, bermain bunga api dan pusing-pusing satu kampung sudah pasti kami lakukan. Cuma bezanya kami adik-beradik juga akan ke pantai untuk bermain layang-layang.

“Bunyinya agak pelik, tetapi itu antara perkara paling menyeronokkan apabila beraya. Kalau tidak, ketika zaman kecil-kecil dulu kami suka pusing-pusing kampung singgah rumah jiran semata-mata untuk menghabiskan kuih raya,” tutur Chacha.

Nikmat Syawal bagi Chacha atau nama penuhya Siti Aishah Ismail, 17, pula apabila dapat berkumpul sekeluarga dan bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Katanya, sukar untuk mencari waktu terluang antara dia dan adik-beradik untuk berhimpun pada satu-satu masa atas dasar kesibukan bekerja.

“Seronoknya raya apabila kami sekeluarga dapat berjumpa dan berkumpul pada satu masa, anugerah itu sebenarnya yang tidak ternilai harganya,” ujarnya.

Hilang abang

Bagaimanapun, kehilangan abang tercinta, Ahmad Shaikie Abdullah Ismail pada tahun 2005 benar-benar meruntun hati kedua-dua Emma dan Chacha setiap kali menjelangnya detik 1 Syawal.

Kongsi Emma, semenjak kehilangan abangnya dia merasakan sambutan Aidilfitri tidak semeriah zaman kanak-kanaknya.

“Pagi raya pasti kami sekeluarga akan terkenangkan arwah dan apabila memandang seorang demi seorang adik-beradik kami, pasti air mata akan mengalir.

“Rasa sebak itu makin kuat dirasa apabila menziarahi pusara arwah kerana dia antara adik-beradik yang rapat dengan saya.

“Memang pada mulanya susah untuk terima pemergiannya, tetapi Alhamdulillah sekarang sudah boleh menerima takdir yang telah tersurat. Kini tinggal kami 10 beradik meraikan Aidilfitri bersama-sama,” luah Emma berkongsi perasaan bersama Chacha.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");