Berita Hari Ini

Kerajaan akan segera bertindak atasi kes jenayah

muhyiddin1

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan guna kerangka undang-undang sedia ada yang boleh digunakan segera untuk tangani jenayah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu sudah dinyatakan dalam mesyuarat kabinet kelmarin, sekali gus membuktikan kerajaan tidak memandang ringan soal jenayah.

“Isu jenayah merupakan subjek paling hangat dibincangkan, malah Perdana Menteri, (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri berjanji akan ambil tindakan tegas bagi menangani masalah ini.

“Hasil daripada mesyuarat bersama jemaah menteri, kerajaan mahu menggunakan kerangka undang-undang sedia ada dalam tempoh segera.

“Kabinet juga ada bincang mengenai soal langkah keselamatan dan kawalan penyeludupan senjata api di sempadan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Timbalan Perdana Menteri di Persada Johor, di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Speaker Dun Johor, Datuk Mohamad Aziz dan Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Muhyiddin berkata, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) menerusi Datuk Seri Idris Jala, sudah diminta melihat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengurangkan jenayah.

“Sebelum ini, NKRA mengurangkan jenayah lebih kepada soal jenayah kecil. Oleh itu, ia kini sesuai untuk dikaji untuk menangani jenayah serius.

“Kerajaan tidak pandang mudah, malah serius dan akan bertindak tegas dengan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyediakan anggota terlatih dan aset,” katanya.

Katanya, harapan masyarakat yang agak tinggi untuk melihat pembaharuan sentiasa diutamakan kerajaan sama ada di peringkat pusat atau pun negeri.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");