Berita Hari Ini

Kerajaan usaha stabilkan harga getah

getah

MACHANG –  Kerajaan  akan mengadakan perbincangan dengan negara-negara pengeluar getah serantau, Thailand dan Indonesia dalam usaha menstabilkan dan meningkatkan harga getah.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perbincangan tersebut ekoran penurunan harga getah yang menggugat ekonomi  pekebun kecil dan penoreh getah di negara ini termasuk Kelantan.

Katanya, permintaan yang berkurangan terutamanya dari China, Amerika dan Eropah menyumbang kepada penurunan harga getah tersebut selain  lebih banyak negara  menawarkan produk itu.

Katanya,  berbanding di tempat pertama sebelum ini, Malaysia kini berada di nombor empat  dalam kategori pengeluar getah di dunia.

“Dulu hanya Malaysia, Indonesia dan Thailand yang mengeluarkan getah namun kini, beberapa negara lain termasuk Vietnam, Sri Lanka dan Kemboja turut menawarkan  hasil getah.

“Penawaran yang ada pada hari ini melebihi permintaan sekali gus menyumbang kepada penurunan harga. Ia tiada kaitan dengan Kerajaan Barisan Nasional atau kerajaan mana sekalipun.

Dakwaan mengatakan  jika pembangkang mengambil alih negara ini membantu meningkatkan harga getah adalah tidak benar sama sekali,” katanya pada Majlis Penyampaian Dividen Risda dan Pelancaran Penggunaan Bahan Rangsangan Negeri Kelantan 2013 di sini, semalam.

Harga getah di pasaran pada hari ini sekitar RM3.10 sekilogram berbandingan lebih RM6 sebelum ini sekali gus membimbangkan golongan pekebun kecil dan penoreh getah yang bergantung hidup kepada hasil pendapatan itu.

Mustapa berkata, bagi meringankan kesusahan  pekebun kecil, kerajaan meluluskan bantuan RM500 kepada  mereka yang layak dengan membabitkan peruntukkan sebanyak RM23.5 juta  dan 47,065 penerima di Kelantan.

Katanya, pada masa yang sama, Risda turut mengagihkan dividen keuntungan terkumpul Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB)  dan Tanam Semula Komersil (TSK) 2012 di seluruh negara.

“Pada hari ini seramai 2,318 penerima RTBB menikmati durian runtuh bernilai RM9.34 juta dari seluruh negeri. Agihan tersebut diharapkan mampu menceriakan Aidilfitri mereka yang akan disambut tidak lama lagi,” katanya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Datuk Yaakub dan  Pengarah Risda Kelantan, Mohamad Ismail.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");