Berita Hari Ini

Laman sosial medium pengiklan efektif

LAMAN SOSIAL

KUALA LUMPUR: Laman sosial bukan sahaja menjadi medium masyarakat untuk berkomunikasi malah ramai usahawan kini menggunakannya untuk memasarkan produk mereka secara efektik, jimat dan murah.

Maklumat di hujung jari ini mendorong usahawan muda yang cepat menguasai bidang teknologi maklumat (IT) untuk menggunakan laman sosial sebagai medium mengembangkan perniagaan dengan mempromosi barangan jualan di laman sosial.

Antara laman sosial yang menjadi pilihan usahawan muda bagi tujuan mempromosi produk ialah Facebook, Instagram, YouTube, Twitter dan Blogspot.

Laman sosial itu menjadi medium strategi pemasaran memandangkan tiada kos yang perlu dikeluarkan jika dibandingkan dengan strategi menggunakan misalnya brosur, risalah dan kain rentang sebelum ini.

Medium itu kini dimanfaatkan usahawan termasuk artis yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan pada usia masih muda dengan pengetahuan IT yang berada pada tahap memberangsangkan.

Pengurus program Femes Bazaar, Yusmarul Ariff Khusni berkata susulan pemasaran melalui media sosial, beliau cuba mengetengahkan usahawan muda termasuk artis melalui Femes Bazaar sebagai platform memajukan lagi perniagaan mereka.

Bazar itu malah menjadi pusat sehenti bagi pelanggan mendapatkan barangan seperti pakaian, kasut, lukisan dan biskut raya.

“Idea penubuhan bazar ini tercetus apabila saya dapati adanya jurang antara artis dan peminat. Jadi apabila ada artis yang menceburkan diri dalam dunia perniagaan, saya terfikir untuk mengadakan bazar ini sebagai tempat penyatuan perniagaan antara artis dan usahawan muda.

“Femes Bazaar telah diadakan selama empat kali bermula di Rasta, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Disember lepas, kemudian dibuka semasa Himpunan Jutaan Belia 2013 di Putrajaya dan kini dibuka kembali di Rasta,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di bazar itu di sini, baru-baru ini.

Katanya rata-rata usahawan muda yang menyertai bazar itu merupakan mereka yang berumur lingkungan 18 hingga 35 tahun dan ada yang telah lama menjalankan perniagaan secara dalam talian malah menggunakan hasil keuntungan jualan untuk menampung kos pengajian mereka.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Yusmarul Ariff berkata beliau menyimpan hasrat untuk menyatukan beberapa penganjur bazar di satu lokasi, umpamanya festival bazar generasi muda yang membuka ruang serta peluang besar kepada usahawan muda untuk melebarkan lagi sayap perniagaan mereka.

“Kami sudah sediakan platform untuk mempromosi produk mereka (usahawan), selebihnya terserah kepada mereka bagaimana mahu menarik pelanggan,” katanya sambil menambah bahawa setiap siri bazar diadakan selama dua hari.

Terbaharu, bazar yang dibuka pukul 10 pagi hingga 5 petang di Rasta, TTDI itu mampu menampung penyertaan 49 gerai usahawan muda termasuk beberapa artis muda tempatan seperti Nabila Huda, Ainul Aishah, Azza Elite, Julia Ziegler dan Zahiril Adzim.

Sementara itu, Ariana Suhantoro, 23, bekas pelajar jurusan Perakaunan dari sebuah institut pengajian tinggi swasta berkata beliau menceburkan diri dalam perniagaan pakaian secara dalam talian sejak lima tahun lepas semasa masih menuntut di pusat pengajian itu.

“Sokongan keluarga dan suami membawa saya hingga ke tahap ini selain kemudahan IT yang menjimatkan kos untuk tujuan promosi. Hasil keuntungan perniagaan dalam talian ini juga digunakan untuk menampung kos pengajian saya sebelum ini,” katanya.

Anak gadis berusia 21 tahun, Nurul Afifah Husna Razali berkata penglibatan beliau ke dunia perniagaan pakaian dan kasut bermula empat tahun lepas selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.

“Saya kemudian mereka sendiri kasut mengikut tempahan pelanggan setelah mendapati perniagaan pakaian amat sengit sekali,” katanya yang menyimpan hasrat untuk meluaskan pasaran produknya ke negeri lain.

Pelakon berusia 28 tahun yang mencipta nama melalui filem ‘Nana Tanjung’, Ainul Aishah Azizun mula membuat biskut sekadar hobi dengan mempelajari cara pembuatannya di YouTube namun apabila rakannya mencuba kuih hasil air tangan Ainul, mereka mencadangkan agar beliau memasarkan produknya itu.

“Saya nampak bisnes ini ada potensi, saya tidak akan berhenti di sini sahaja kerana peluangnya besar di hadapan saya,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Seorang lagi pelakon, Mohd Zahiril Adzim Mohd Mukhtar, 29, pula pada mulanya membantu perniagaan pakaian wanita milik isterinya namun kini beliau mula menambah koleksi pakaian lelaki jenama ‘Marsvenus’.

Katanya, beliau tidak menganggap kerjaya sebagai artis akan melonjakkan perniagaannya tetapi yakin bahawa barangan berkualiti mampu menarik pelanggan untuk datang ke gerai beliau.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");