Berita Hari Ini

Lantik anak pegawai khas bukan jadi isu

najib beraya

Pekan: Datuk Seri Najib Razak berkata, tindakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz melantik anaknya, Mohammad Nedim sebagai pegawai khas tidak sepatutnya dijadikan isu kerana ia tidak membabitkan wang kerajaan.

Perdana Menteri berkata, ini kerana Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen boleh melantik ahli keluarga untuk membantu mengurus hal berkaitan kawasan Parlimen masing-masing.

Beliau berkata, mereka boleh melantik ahli keluarga masing-masing sebagai pembantu khas dengan syarat tidak menggunakan peruntukan kewangan kerajaan dan mencampuri urusan dalam kementerian.

Bantu kawasan Parlimen

“Perkara ini tidak perlu dijadikan isu kerana pelantikan anaknya adalah bagi membantu tugas Nazri sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas. Ini tidak salah dan Ahli Parlimen boleh melantik siapa saja, termasuk ahli keluarga mereka bagi membantu mereka menjalankan tugas di kawasan Parlimen diwakili.

“Ia juga tidak membabitkan peruntukan kerajaan bagi membayar gaji anaknya. Jawatan berkenaan juga tidak membabitkan bidang kuasa atau campur tangan secara langsung dalam urusan kementerian yang dipegang Nazri,” katanya pada sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pekan, di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah mendapatkan penjelasan daripada Nazri mengenai kedudukan anaknya yang hanya menjalankan tugas sebagai pembantu khas bagi membantunya secara sukarela di kawasan Parlimen Padang Rengas.

“Jadi tiada wang kerajaan yang digunakan untuk membiayai kerja-kerja yang anak beliau lakukan kerana ia kerja sukarelawan semata-mata,” katanya.

Ditanya tindakan pihak pembangkang terus mempolitikkan isu itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, pembangkang sebenarnya dilihat lebih teruk daripada isu yang dibangkitkan mereka itu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib yang juga Presiden UMNO berkata ahli parti itu perlu meletakkan prinsip kekeluargaan sebagai asas yang kukuh pada pemilihan UMNO pada peringkat cawangan, bahagian dan majlis tertinggi.

“Kita harus bersatu-padu sebagai satu keluarga, jangan ketepikan prinsip kekeluargaan. Inilah asas kita, banyak lagi cabaran yang akan kita hadapi pada masa depan,” katanya.

Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");