Jenayah

Mangsa bakar sendiri mercun dengan pemetik api

MANGSA

KOTA BHARU – Polis Kelantan menafikan dakwaan kanak-kanak yang cedera parah akibat terkena mercun dalam kejadian di Kampung Awang, Pasir Puteh, Jumaat lalu, membabitkan perbuatan khianat.

Sebaliknya, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, siasatan awal yang dijalankan di tempat kejadian mendapati ia mercun buatan yang dimainkan sendiri oleh mangsa, Nik Muhamad Harith Danial Erman, 8.

Katanya, ketika itu mangsa berseorangan di bahagian dapur rumah sebelum menyalakan sendiri mercun tersebut dengan pemetik api.

“Tiada unsur khianat dalam kejadian itu dan bahan tersebut ialah mercun yang digunakan semasa hari raya. Tidak ada unsur orang letak mercun terbabit atau pecah masuk.

“Mercun buatan itu dihasilkan daripada pelbagai jenis mercun dan jenis-jenisnya masih dianalisa. Ia mempunyai sumbu serta dibakar sendiri. Ini hanyalah kes bermain mercun dan polis menganggapnya selesai,” katanya ketika melawat mangsa di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, semalam.

Hadir sama dalam lawatan itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan, Mohd Kamal Zainal.

Mazlan turut menolak dakwaan bahan letupan itu adalah bungkusan atau bom seperti didakwa sesetengah pihak.

“Ketika itu ada lapan orang di dalam rumah dan hanya mangsa ada di dapur. Kalau bom buatan, letupan akan memusnahkan dapur itu, bagaimanapun, ini sebaliknya, dapur masih dalam keadaan elok,” katanya.

Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, mangsa cedera parah dengan hilang empat jari tangan kiri, cedera di muka, mulut dan badan.

Kejadian disedari ibu saudaranya, Norsuhaza Akma Mohd Shukri yang terdengar jeritan anak saudaranya itu selepas dentuman kuat dan disusuli asap memenuhi ruang rumah.

Mangsa kini ditempatkan di wad biasa HUSM selepas menjalani pembedahan dan sudah boleh bercakap perlahan-lahan serta mula makan.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");