Berita Hari Ini

Ops Pati Besar-Besaran Dalam Masa Terdekat – Musa Aman

Datuk Seri Musa Aman

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melancarkan operasi besar-besaran bagi mengesan dan menangkap pendatang tanpa izin di negeri itu dalam masa terdekat, dengan tumpuan di kawasan pantai timur Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata operasi akan membabitkan semua pihak berkuasa berkaitan dan diselaraskan oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan (bagi Sabah dan Labuan).

“Selain itu, Jabatan Imigresen Sabah akan melaksanakan operasi terhadap sektor perkilangan dan perladangan bagi memastikan majikan dan semua pekerja dalam sektor berkenaan mematuhi undang-undang dan peraturan imigresen.

“Bagi maksud itu, tumpuan bagi sektor perkilangan ialah di bahagian pantai barat dan pedalaman Sabah, manakala bagi sektor perladangan tumpuan adalah di pantai timur Sabah,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Joniston Bangkuai (BN-Kiulu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini Isnin.

Musa berkata pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bersama beberapa agensi lain sudah memulakan operasi bancian penduduk di beberapa perkampungan atas air.

“Hasil bancian ini penting bagi mengetahui latar belakang dan kewarganegaraan penduduk di kampung-kampung air berkenaan, di samping membantu merancang pemindahan penduduk atau untuk program penyusunan semula kampung-kampung tersebut,” katanya.

Musa berkata dari Januari hingga Julai tahun ini, Jabatan Imigresen Sabah melaksanakan 252 operasi dan memeriksa 4,350 orang dengan 2,022 daripada mereka ditahan untuk siasatan lanjut bagi menentukan status mereka.

“Selain itu, tangkapan juga melibatkan 14 majikan yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya.Menurut Musa, selain itu beberapa agensi penguatkuasaan turut menyerahkan 3,108 pendatang yang disyaki tanpa izin kepada Jabatan Imigresen bagi tempoh sama. “Dalam operasi pengusiran pula, sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2013, Jabatan Imigresen Sabah telah mengusir balik 8,910 pendatang tanpa izin ke negara asal masing-masing melalui pelabuhan Sandakan, Tawau dan Semporna.

“Pengusiran yang dibuat melalui udara pula melibatkan warganegara China, Vietnam, Pakistan, Nepal, India dan lain-lain,” katanya sambil menambah aktiviti pengusiran itu dilakukan setiap minggu.

Musa berkata yang paling ramai diusir ialah warganegara Filipina (6,209 orang), diikuti rakyat Indonesia (1,870 orang), China (38), Vietnam (30), Pakistan (24), Nepal (12), India (3 orang), Ukraine (2 orang), Jerman dan Brunei masing-masing seorang.

Beliau berkata sehingga 13 Ogos lepas, sebanyak 2,751 pendatang tanpa izin masih ditahan di pusat tahanan sementara di Papar, Sibuga dan Tawau, meliputi 2,358 warga Filipina, 351 rakyat Indonesia dan selebihnya dari lain-lain negara.

Musa berkata berikutan penubuhan ESSCOM, kawalan di perairan Sabah meliputi kawasan pesisiran Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau serta pulau-pulau negeri itu telah diperhebat bagi membendung kemasukan pendatang tanpa izin.

“Dasar kerajaan terhadap golongan pendatang tanpa izin adalah jelas iaitu setiap mereka yang dikesan akan ditangkap dan dihantar pulang ke negara asal mereka,” katanya.

-BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");