Perak Hari Ini

Ops Selamat Bantu Cegah Jenayah, Tingkat Keselamatan Pengguna Jalan Raya

PERAKTODAY5

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pihaknya akan memberi fokus kepada tiga pendekatan utama dalam memantapkan Ops Selamat yang bertujuan mencegah dan membanteras jenayah menjelang sambutan Aidilfitri, tahun ini.

Beliau berkata, antara misi Ops Selamat ialah mencegah dan membanteras jenayah pada tahap maksimum serta meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat samada pengguna jalan raya mahupun kepada mangsa perlakuan jenayah.

“Ops Selamat akan memfokuskan kepada dua keadaan iaitu untuk mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan di sepanjang musim perayaan tidak kira di jalan raya mahupun di rumah,” katanya.

Tambah Mohd Shukri, pihaknya sudah mengenalpasti kawasan panas atau hotspot’ yang seringkali menjadi lokasi kemalangan jalan raya di negeri itu.

Melalui kajian yang dilakukan pihak polis pada musim perayaan terdahulu, kawasan yang kerap mengalami kemalangan maut adalah di sekitar Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), jalan Persekutuan dan jalan negeri.

“Kita dapati lokasi yang sering berlaku kemalangan maut bermula dari Tanjung Malim Malim hingga ke Juru yang merupakan kawasan lebuhraya dalam negeri Perak manakala 17 kawasan di jalan Persekutuan juga turut dikenalpasti,” ujarnya.

Mohd Shukri juga menjelaskan, bagi memastikan keadaan trafik berjalan lancar, pihaknya akan mendirikan kanopi di 15 kawasan tertentu di mana beberapa anggota polis akan memantau keadaan semasa lalu-lintas.

“Pihak polis akan sentiasa memberi perkhidmatan terbaik bagi memastikan pengguna jalan raya sedar dan celik dengan keadaan semasa di lebuhraya mahupun jalan biasa.

“Ini merupakan usaha pihak kami bagi memelihara keselamatan masyarakat dan bukannya untuk melakukan penguatkuasaan seperti saman yang seringkalai disalah tafsirkan,” tegasnya.

Beliau juga mencadangkan supaya pemandu yang keletihan akibat pemanduan jauh memberhentikan kereta di kawasan bersesuaian untuk berehat.

Mohd Shukri turut memberitahu, seramai 1,000 anggota polis akan terlibat dalam Ops Selamat yang bertujuan memastikan laluan trafik di seluruh negeri Perak berjalan lancar manakala 6,000 lagi akan ditugaskan memantau kegiatan jenayah dan pecah rumah.

Jelasnya, anggota pasukan itu akan ditempatkan di kanopi, hadir dengan bermotosikal, berkereta atau mengawal keadaan lalu lintas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan, Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, terdapat kelainan bagi Kempen Ops Selamat 2013 yang menampilkan aktiviti kemasyarakatan.

“Kempen ini bukan saja melibatkan jalan raya dan harta benda tetapi juga program gotong-royong memasak bubur dan elemen-elemen pertandingan yang penyertaan orang ramai.

“Kita cuba bawa pendekatan baru untuk memaklumkan kepada rakyat dan selain kempen keselamatan, kita juga mahu mendedahkan kepada umum usaha pihak polis yang sering memastikan keselamatan rakyat terjamin selama ini,” ujarnya selepas melancarkan Ops Selamat 3/2013 di Terminal Aman Jaya, dekat Meru Raya, hari ini.

Tambah Zainol Fadzi, kempen lebih mesra rakyat perlu dianjurkan dan beliau sendiri usaha seperti itu mampu mengeratkan hubungan selain memupuk persefahaman antara jabatan yang terlibat dengan masyarakat luar.

“Ini merupakan kolaborasi yang amat baik yang kita lakukan kerana kadang-kala kita terlepas pandang apa yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan,” jelasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");