Berita Hari Ini

Orang Asli perlu ada lesen jual binatang

BURUNG

KUANTAN – Perhilitan mengingatkan Orang Asli yang terbabit dengan aktiviti menjual binatang termasuk burung supaya mendapatkan lesen terlebih dahulu.

Pengarahnya, Khairiah Mohd Shariff berkata, Perhilitan tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan dan melalui undang-undang yang ada diharap dapat mengajar mereka supaya tidak terus mengulanginya.

Menurutnya, Orang Asli dibenarkan memburu binatang dan burung hanya untuk tujuan dimakan bukan dijual seperti yang banyak berlaku di sepanjang Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah sebelum ini.

“Mereka boleh melakukan aktiviti jualan sekiranya memiliki lesen menangkap dan memiliki, sekiranya tiada pihak terbabit akan didakwa sama dengan individu lain.

“Kita sudah banyak beri penerangan kepada masyarakat Orang Asli berkaitan kesalahan menjual binatang dan burung tanpa lesen namun mereka masih menjalankan kegiatan itu,” katanya.

Khairiah berkata, Perhilitan bertindak tegas dengan merampas binatang dan burung yang dijual dan seterusnya mendakwa individu terbabit bagi membendung kegiatan tersebut.

Katanya, pihaknya merampas lebih 90 serindit, bayan, tiong emas, ayam hutan termasuk kucing batu daripada enam individu yang menjalankan perniagaan di tepi Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah, Rompin pada operasi bersih bulan lalu.

Khairiah berkata, operasi bersih di laluan berkenaan sudah banyak kali dilakukan bahagian penguat kuasa Perhilitan negeri namun selepas beberapa bulan aktiviti berkenaan kembali aktif secara kecil-kecilan.

“Kita sedia bekerjasama meluluskan lesen dengan syarat individu terbabit tampil ke pejabat untuk memohon lesen menangkap dan memiliki, bayaran RM20 dikenakan mengikut jenis burung dan jumlahnya.

“Saya juga menasihatkan kepada masyarakat supaya tidak terlibat dengan membeli binatang dan burung yang dijual di tepi jalan, sekiranya mereka membeli tindakan undang-undang turut akan dikenakan kepada mereka.

“Mereka yang ingin membeli binatang dan burung sama ada di tepi jalan termasuk premis haiwan peliharaan perlu menyemak lesen daripada penjual untuk memastikan mereka memiliki lesen,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");