Berita Hari Ini

Perkeso bayar RM3.7 juta kepada 1,429 waris

MUAR – Perkeso cawangan Muar sudah membuat bayaran kira-kira RM3.7 juta kepada 1,429 waris ahli yang mencarum bagi tempoh enam bulan pertama, tahun ini.

Pengurus Perkeso Muar, Jamalluddin Mohamad berkata, bayaran itu melibatkan pampasan kepada pekerja swasta yang hilang upaya kekal, sementara, faedah pencen ilat, tanggungan dan faedah pengurusan mayat.

Menurutnya, pampasan itu melibatkan 235 kes melibatkan pelbagai kategori yang dibayar pihaknya dalam usaha menjaga kebajikan pencarum setelah ditimpa musibah.

“Daripada jumlah itu, pembayaran tertinggi dibuat adalah untuk mereka yang hilang upaya kekal iaitu kira-kira RM2 juta melibatkan 1,350 penerima, diikuti hilang upaya sementara 1,120 penerima iaitu kira-kira RM1.2 juta.

“Bayaran tertinggi ketiga pula ialah hilang upaya kekal dan berkala kepada 11 penerima berjumlah RM188,944, diikuti bayaran faedah pengurusan mayat kepada 86 penerima berjumlah RM111,950,” katanya kepada Sinar Harian.

Jamalluddin berkata, bagi bayaran penakat iaitu mereka yang ditimpa musibah, tetapi bukan waktu bekerja, seramai 36 menerima RM53,661, sementara pampasan untuk ilat pula adalah 31 penerima yang menerima RM20,380.

“Bagi faedah tanggungan iaitu melibatkan kematian waktu bekerja, seramai 10 penerima menerima RM5,490, manakala bagi pampasan hilang upaya kekal yang dibayar secara pukal dan berkala pula tidak ada satu kes dalam tempoh itu setakat ini.

“Ramai kurang sedar sama ada bapa, suami atau isteri mereka mencarum Perkeso dan ada juga ahli keluarga penerima tidak mengetahui waris mereka berbuat demikian sehingga berlaku musibah,” katanya.

Beliau berkata, apabila mencarum Perkeso, mereka yang bekerja tidak perlu bimbang kerana akan dilindungi insurans bagi mengelak menanggung kesusahan jika terbabit musibah yang tidak dijangkakan.

Jelasnya, pencarum akan dilindungi mengikut peruntukan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan kelayakan, terma, syarat serta tatacara tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.

“Secara mudahnya, mereka akan menerima faedah berdasarkan skim perlindungan yang disediakan Perkeso, antaranya Skim Keilatan meliputi pencen ilat, pendidikan dan pencen penakat.

“Selain itu, mereka juga akan dilindungi Skim Bencana Pekerjaan dengan mendapat perlindungan setelah mengalami kemalangan seperti perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, pendidikan, orang tanggungan serta pengurusan jenazah,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");