Sukan Hari Ini

Rajagobal kekal jurulatih hingga Disember

r gopal

DATUK K Rajagobal boleh menarik nafas lega apabila khidmatnya sebagai jurulatih tidak akan ditamatkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas badan induk itu memutuskan untuk mengekalkan beliau sebagai jurulatih skuad kebangsaan sehingga kontraknya tamat pada akhir Disember ini.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan serta Jawatankuasa Pertandingan Antarabangsa di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Tengku Abdullah, keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor terutamanya dari segi kekangan masa untuk mencari juruatih lain bagi membimbing skuad Harimau Malaya dalam persiapan kelayakan Piala Asia menentang Bahrain Oktober ini.

“Tidak dinafikan sekiranya dikaji melalui merit memang tidak memihak pada beliau (Rajagobal), tetapi untuk mencari penganti beliau dalam masa terdekat adalah satu masalah besar, kita perlu mendapatkan jurulatih yang lebih daripada beliau.

“Soal kekal atau gugur bukan masalahnya sekarang, tetapi persoalannya siapakah penganti beliau nanti. Sehubungan itu kita tidak boleh terburu-buru lagipun bulan 10 semakin hampir dan masa untuk mengharungi kelayakan Piala Asia semakin singkat.

“Jadi, kami akan memberi peluang kepada Rajagobal untuk membimbing skuad kebangsaan namun saya harap beliau akan bangkit pada perlawanan selepas ini dan sedar bahawa kemenangan itu penting,” katanya kepada pemberita di sidang media selepas mesyuarat tersebut.

Dalam laporan tempatan hari ini, ramai pihak menjangkakan bahawa Rajagobal akan diarah meletak jawatan selaku ketua jurulatih Harimau Malaya susulan
prestasi buruk skuad negara dalam siri jelajah di Jepun.

Ini kerana, sepanjang berguru di sana, skuad negara gagal mencatat sebarang kememangan bahkan jaringan gol dalam tiga perlawanan menentang kelab Jepun.

Harimau Malaya tewas kepada kelab Divisyen Satu Liga Jepun iaitu Shonan Bellmare (0-5) dan Shimizu S Pulse (0-2) sebelum diaibkan 0-5 kepada kelab Divisyen Dua Liga Jepun, Tokyo Verdy.

Keputusan itu membuatkan Harimau Malaya sekadar mampu melakar dua kemenangan selepas mengharungi 13 perlawanan tahun ini dan itu satu rekod yang cukup memalukan.

Mengulas lanjut, Tengku Abdullah bagaimanapun menegaskan bahawa pihaknya akan tetap mencari jurulatih terbaik bagi mengembalikan kembali imej bola sepak negara.

Malah katanya, FAM akan sentiasa berusaha mencari sesiapa yang sahaja yang boleh menjanjikan kejayaan buat Malaysia.

“Sudah tentu saya hampa dengan keputusan diperolehi semasa berada di Jepun, tapi saya tidak boleh menjelaskan dengan terperinci mengenai kegagalan tersebut kerana yang boleh memberi jawapan itu adalah pemain dan jurulatih.

“Apa pun, kami tidak boleh ambil risiko atau tindakan drastik buat masa sekarang kerana ia tidak semestinya akan menjamin kejayaan bola sepak negara namun demikian kita akan tetap mencari sesiapa sahaja yang layak untuk membimbing skuad negara dan saya akan pastikan ia berlaku,” jelas beliau.

Harimau Malaya yang tiba ke ibu negara hari ini selepas ‘berguru’ hampir dua minggu di Jepun akan menentang juara Liga Sepanyol, Barcelona pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil 10 Ogos depan.

Selepas menentang The Catalan, anak-anak buah Rajagobal bertemu China dalam satu lagi aksi persahabatan pada 10 September sebelum mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15 Oktober depan.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");