Membawang Hari Ini

Redha Jadi Anak Yatim

dottie

BERGELAR anak sulung bukan satu hal yang mudah berbanding adik-beradik lain dalam keluarga. Banyak perkara yang perlu dipikul dan tergalas di bahu sebenarnya.

Malah, jika bapa sebagai ketua keluarga sudah pergi buat selama-lamanya, maka anak sulunglah yang bakal menjadi ketua keluarga membantu ibu dan adik-beradiknya.

Reda dengan rencana kehidupan yang telah ditetapkan buat dirinya, pelakon yang dikenali dengan watak Dottie, Norsyuhaida Ab Razak tidak kenal erti putus asa.

Menurut pelakon ini, semenjak arwah bapanya Ab. Razak Shaari meninggal dunia pada bulan Disember 2010, memang memberi kesan buat dirinya.

“Saya mempunyai lima orang adik- beradik. Selepas ayah meninggal, memang saya yang perlu memikul tanggungjawab menyara keluarga.

“Bila fikir semula, memang mencabar kerana saya adalah anak sulung dan perempuan. Tugas untuk menjadi ketua keluarga memang bukan satu yang mudah.

“Tapi saya kuatkan semangat, saya reda dengan pemergian bapa dan yakin rezeki itu ada di mana-mana dan kita hanya perlu mencari sedaya upaya,” jelasnya.

Cerita gadis ini lagi, selepas arwah bapanya meninggal, dia mula mendapat tawaran sebagai pelakon.

“Sebelum itu saya ada pergi uji bakat untuk watak Dottie dan keputusan ketika itu belum diketahui. Lepas bapa meninggal, saya rasa ketika itu agak susah kerana belum ada sumber kewangan yang kukuh.

“Tetapi mungkin sudah takdir agaknya, selepas arwah bapa meninggal, saya diberitahu telah mendapat tawaran untuk memegang watak Dottie.

“Malah, wang daripada dunia lakonanlah yang saya gunakan untuk menyara keluarga dan membantu adik-adik saya yang masih lagi belajar,” ujarnya.

Ditanya sama ada dia pernah terfikir akan menyara keluarga melalui wang dunia lakonan, jelasnya, memang ia tidak pernah langsung terlintas di fikiran.

“Saya tidak pernah terfikir pun untuk memperoleh sumber kewangan melalui dunia lakonan.

“Apa yang saya tahu, lepas arwah ayah meninggal, saya perlu cari sumber kewangan yang kukuh bagi menyara keluarga. Tetapi, satu perkara yang saya tahu ialah, walaupun dugaan menimpa seseorang, hidup perlu diteruskan.

“Sebab itu walau susah macam mana sekalipun, saya terapkan pada diri untuk sentiasa berusaha sedaya upaya kerana pasti kita akan menerima ganjarannya satu hari nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai persiapan menyambut kedatangan Syawal, ujar Norsyuhaida, semua persiapan raya ditanggung oleh dirinya.

“Perkara ini memang sudah menjadi kebiasaan dan biasanya kami akan membeli-belah persiapan raya bersama-sama,” katanya yang memilih Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, sebagai lokasi membeli-belah.

Menurutnya, biasanya persiapan akan akan dibuat pada detik-detik akhir Ramadan.

“Biasanya kami sekeluarga akan pergi beli baju raya atau persiapan lain pada minggu terakhir Ramadan.

“Memang agak padat nak buat persiapan raya menjelang minggu terakhir Ramadan, tetapi itu yang sebenarnya menjadi kemeriahan untuk menyambut Syawal,” jelasnya.

Masih aktif

Rasanya ramai yang perasan bila sebut nama Norsyuhaida atau Dottie, lebih ramai yang mengenali Dottie walaupun kedua-dua nama itu merujuk kepada orang yang sama.

Tahun ini merupakan tahun ketiga Norsyuhaida berada dalam dunia lakonan, tetapi orang masih mengaitkan namanya dengan watak Dottie.

Ditanya sama ada dia terkilan kerana masih diingati sebagai Dottie yang bukan nama sebenar, dia tiada masalah dengan isu tersebut.

“Memang kalau jumpa di luar pun orang masih memanggil saya dengan nama Dottie. Saya tiada masalah tetapi saya akan beritahu mereka nama sebenar saya.

“Malah saya pun sebenarnya tidak mahu terikat dengan nama Dottie sebab lepas watak itu, banyak juga watak lain yang saya bawa.

“Tetapi saya tidaklah sampai ke tahap kecewa kerana orang memanggil saya dengan watak itu. Apa yang penting, mereka tetap mengenali saya,” jelasnya.

Tambahnya, dia begitu berharap selepas ini peminat atau sesiapa sahaja mula memanggilnya dengan nama sebenar dan bukan lagi nama Dottie.

“Kalau orang tegur saya Dottie, saya akan beritahu untuk panggil nama sebenar saya. Tetapi letih juga hendak menerangkan kepada seorang demi seorang untuk memanggil nama saya yang sebenar,” jelasnya sambil tertawa.

Penangan watak Dottie

Namun, penangan itu kekal untuk watak itu sahaja. Selepas Dottie, ramai yang berkata semakin kurang melihat Norsyuhaida berada dalam dunia lakonan.

“Sebenarnya saya masih aktif dalam dunia lakonan. Mungkin ramai yang terlepas pandang lakonan saya di televisyen lalu menyangkakan saya tidak lagi menjadi pelakon.

“Saya masih aktif dan lakonan masih menjadi satu-satunya periuk nasi saya untuk menyara keluarga,” ujarnya.

Tambahnya lagi, tahun ini juga merupakan tahun yang paling sibuk buat dirinya sebagai seorang pelakon.

“Alhamdulillah, rezeki untuk berlakon pada tahun ini memang banyak. Itu yang buat saya musykil kerana dalam kesibukan saya berlakon, masih ada yang menyangkakan saya sudah tidak berlakon,” jelasnya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa ada beberapa produksi yang enggan mengambil dia berlakon kerana perangainya yang dikatakan ‘diva’, jelas Norsyuhaida, itu tidak betul sama sekali.

“Saya memang menyangkal dakwaan tersebut kerana saya rasa diri saya cukup mesra dengan sesiapa sahaja saya bekerja.

“Malah, krew penggambaran yang bekerja dengan saya pun mempunyai hubungan baik dengan saya.

“Mungkin sebab orang dah lama tidak nampak saya berlakon yang mengatakan saya sebegitu. Walhal rezeki saya semakin murah dalam dunia lakonan,” ujarnya.

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");