Jenayah

Salah guna diesel subsidi

diesel subsidi

CHEMOR – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak berjaya menumpaskan kegiatan dua lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan menjual diesel bersubsidi kepada pihak industri dalam satu serbuan di sini, semalam.

Dalam serbuan di sebuah stor itu, dua lelaki tempatan berusia 50-an diberkas dan 8,400 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM15,120 berjaya dirampas.

Penolong Pengarah PPDNKK Negeri, Mohd Zainal Yeop Dahari berkata, pihaknya turut merampas dua kenderaan yang digunakan suspek dan beberapa peralatan mengepam minyak.

“Kedua-dua suspek ditahan ketika sedang memindahkan diesel terbabit ke sebuah tangki lebih besar di sebuah stor berhampiran deretan rumah kedai.

“Pemantauan bermula jam 9 pagi yang diketuai oleh Penolong Pegawai Penguatkuasa, Ahmad Khairil Akhtar di sebuah stesen minyak berjaya mengesan sebuah lori yang berulang alik sebanyak tujuh kali untuk membeli minyak diesel subsidi,” katanya kepada media di sini.

Mohd Zainal berkata, hasil siasatan mendapati pemilik lori yang mempunyai lesen pemborong minyak tetapi mengumpul diesel subsidi terbabit untuk dijual semula dengan harga industri bagi mengaut keuntungan hampir dua kali ganda.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk dua lori tangki dianggarkan bernilai lebih RM95,000.

“Suspek mengaut keuntungan lebih apabila membeli dengan harga subsidi iaitu RM1.80 sebelum dijual semula kepada pihak industri sebanyak RM2.59.

“Menjadi kesalahan kepada pemborong yang tidak boleh menyimpan minyak bersubsidi dan tangki yang tidak dilesenkan,” katanya.

Mohd Zainal berkata, kedua-dua lelaki terbabit ditahan untuk siasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda  maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat menerusi talian bebas 1800-88-6800 atau talian 03-8000800,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");