Perak Hari Ini

Sikap Teliti, Berhati-Hati Sebelum Bangkit Isu Agama: Raja Nazrin

PERAK TODAY 4

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan semua pihak agar bersikap teliti dan berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan atau reaksi terhadap perkara-perkara yang menyentuh isu agama.

Sebaliknya, isu agama titah baginda, perlu dibincangkan dalam suasana musyawarah berlandaskan sifat keilmuan.

“Dalam negara yang warganya terdiri daripada penganut pelbagai agama, amatlah penting diamalkan sifat teliti dan sikap berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan dan memberi reaksi terhadap perkara-perkara yang menyentuh agama.

“Setiap pengucapan, setiap tindakan hendaklah berasaskan fikiran rasional dan bukan dipengaruhi emosi. Sebarang pertelingkahan, tidak harus dipolimikkan dan tidak harus lebih dikusutkan. Kenyataan terbuka berunsur provokatif hendaklah dielakkan.

“Sebaliknya, isu agama perlu dibincangkan dalam suasana mesyuarah berlandaskan sifat keilmuan untuk membolehkan tercapainya titik persefahaman dan titik pertemuan,” titahnya ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Perak Ke-13, di Ipoh, hari ini.

Sementara itu, baginda turut bertitah, semua pihak perlu bersatu-padu dan berusaha memastikan keselamatan negara sentiasa berada dalam keadaan yang terjamin daripada kegiatan jenayah.

Lantaran itu, Raja Nazrin menasihatkan supaya masyarakat terus memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dalam membanteras apa jua kegiatan jenayah yang boleh menganggu-gugat ketenteraman awam.

“Tugas memerangi jenayah adalah tugas dan tanggungjawab setiap warga kerana penjenayah tidak tinggal dan tidak bergerak dalam kedudukan terpencil.

“Jika warga turut serta membantu, tugas pasukan keselamatan menangani jenayah akan dapat diselesaikan dengan kadar segera,” titah baginda lagi.

Dengan kerjasama baik yang diberikan, titah Raja Nazrin, Perlembagaan negara serta kedaulatan undang-undang juga dapat dipelihara sekaligus menjadi contoh kepada negara lain.

Memandangkan negara berada di ambang kemerdekaan, baginda turut mengimbau kembali peristiwa sejarah perjuangan yang melibatkan kerjasama semua pihak dalam membentuk negara tercinta ini.

Titah baginda, ketika itu, persefahaman yang terjalin antara kaum yang pelbagai menjadi tunjang kepada kejayaan perpaduan negara.

“Sejak terbentuknya sebuah negara bangsa, rakyat di negara ini telah memilih suara kesederhanaan di mana rakyat telah menolak aliran pemikiran ekstremis sama ada berunsur ideologi, agama atau kaum,” titah baginda lagi.

Oleh yang demikian, Raja Nazrin menyarankan kepada warga supaya sentiasa bersatu-padu membina negara yang makmur dan bebas daripada ancaman tidak diingini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");