Jenayah

Suspek kedua ditahan

polis tahan suspek

KOTA BHARU –  Polis Kelantan berjaya menahan suspek kedua kejadian letupan bom yang menyebabkan seorang kerani sekolah terkorban di Taman Seri Periuk, Tumpat, Ahad lalu, selepas suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim, berkata lelaki berusia 28 tahun itu menyerah diri pada jam 10.15 pagi  dan dipercayai merupakan jiran kepada keluarga mertua mangsa yang dikatakan dikenali keluarga mangsa.

“Suspek akan direman selama seminggu dan polis mengenal pasti kes terbabit. Kita percaya kes terbabit bermotifkan cemburu dan dendam,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi Ahad lalu, kerani Sekolah Rendah Kebangsaan Manek Urai, Kuala Krai, Mohd Yusrizal Mat Zain, 32, maut terkena letupan ketika mengambil bungkusan ditinggalkan di atas bumbung Naza Citra di halaman rumah mertuanya di Taman Seri Periuk itu.

Rabu lalu, seorang anggota tentera berusia 29 tahun ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kes letupan tersebut.

Mazlan berkata, dengan tertangkapnya suspek kedua itu polis percaya dapat menyelesaikan kes letupan terbabit.

Beliau berkata, polis menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Sementara itu,  Mazlan berkata, polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif mengedar dadah jenis pil kuda di daerah Kota Bharu dan Pasir Mas.

“Dalam serbuan pada 2.50 pagi tadi, polis menahan sepasang suami isteri dalam sebuah rumah di Kampung Gaung Belukar Pendek di sini,” katanya.

Beliau berkata, polis merampas 2,440 biji pil disyaki dadah jenis pil kuda dan 10 paket plastik berisi pil yang disyaki dadah jenis pil kuda dalam keadaan basah, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM150,000.

“Kita juga telah merampas wang tunai berjumlah RM11,300, seutas jam tangan jenis Rado, seutas gelang tangan, dan dua buah kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");