Jenayah

Taktik pecah rumah tidak menjadi

polis lg

KUALA TERENGGANU – Taktik licik seorang lelaki yang mengambil kesempatan musim cuti hari raya untuk melakukan jenayah pecah rumah tidak menjadi apabila berjaya ditangkap orang awam, dalam kejadian di sebuah rumah kedai berhampiranHotel Grand Continental, di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, suspek berusia 30-an, sanggup meredah perjalanan sejauh hampir 30 Kilometer dari tempat tinggalnya di Gong Badak, di sini, semata-mata untuk melakukan jenayah tersebut.

“Kehadiran suspek yang berjaya masuk ke dalam rumah kedai terbabit disedari orang awam yang ketika itu sedang melepak di lokasi berhampiran selepas terdengar bunyi bising.

“Mereka kemudiannya memaklumkan pemiliknya yang tinggal berhampiran lokasi kejadian dan pemiliknya segera datang. Suspek berjaya ditahan ketika menyembunyikan diri di dalam tandas selepas menyedari kehadiran mereka,” katanya, semalam.

Manoharan berkata, semasa ditangkap, turut dijumpai bersama suspek ialah selonggok kabel yang berjaya dicuri sebelum itu dan satu unit pendingin hawa.

“Siasatan awal mendapati, suspek masuk ke dalam rumah kedai tersebut melalui bumbung yang dipecahkan dan tujuannya untuk mencuri wayar serta kabel dan beberapa peralatan yang boleh dijual.

“Siasatan turut mendapati suspek seorang penagih dadah dan sebelum ini memiliki beberapa rekod jenayah termasuk jenayah dadah,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");