Berita Hari Ini

TBS jadi panduan bina terminal pengangkutan

hishamudin

KUALA LUMPUR – Terminal Bersepadu Selatan (TBS) akan dipantau dan dijadikan sebagai panduan kepada perancangan pembinaan dua lagi terminal pengangkutan bersepadu iaitu di Sungai Buloh untuk laluan ke Utara dan Gombak bagi laluan ke Timur.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pembinaan kedua-dua terminal itu akan bergantung kepada pengalaman, ‘template’, masalah serta maklum balas orang ramai yang diterima oleh TBS.

“Semua itu kita akan ambil kira dalam memperluaskan agenda ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke TBS di sini, hari ini.

Pembinaan dua terminal bas itu, selain TBS adalah sebahagian perancangan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara Pengangkutan Awam dalam usaha melencongkan kira-kira 780 buah bas dari Utara dan Timur daripada memasuki pusat bandar.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata Kementerian Pengangkutan yakin kapasiti penggunaan TBS mampu ditingkatkan sepenuhnya menjelang tahun hadapan.

“Saya beri jaminan untuk pastikan apa jua kekangan (di TBS) dapat ditangani sebab kemudahan sudah ada, amat rugi jika tidak menggunakan kemudahan yang ada ini sepenuhnya,” katanya.

Ditanya mengenai Op Selamat sempena musim perayaan Aidilfitri yang telah mencatatkan 53 kemalangan dalam masa tiga hari sejak dilancarkan minggu lepas, Hishammuddin berkata punca kemalangan perlu dikaji secara analisis mikro dengan mengambil kira pelbagai faktor secara menyeluruh.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan memandang isu itu secara serius dan pelbagai usaha dilakukan bagi membendung peningkatan kemalangan setiap  tahun pada musim perayaan.

“Saya juga secara peribadi menyatakan kekecewaan dan kerisauan  terhadap sikap pemandu,” katanya.

Menurutnya jumlah kenderaan di lebuh raya utama negara meningkat kepada 3 juta pada musim perayaan berbanding 1.9 juta pada hari biasa.

Ditanya mengenai pemilihan Umno pada Oktober depan, Hishammuddin yang juga Naib Presiden parti mengingatkan anggota Umno untuk mengekalkan semangat kekeluargaan, seperjuangan dan sentiasa meletakkan kepentingan parti lebih daripada peribadi.

“Menang atau kalah kita semua bertanggungjawab memastikan transformasi parti dan BN berjaya diharungi,”katanya.

Beliau turut mengulangi pendiriannya untuk mempertahankan jawatannya itu bersama-sama dua lagi naib presiden Umno iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Semua anggota Umno di Parlimen Sembrong sebulat suara bersetuju untuk saya bertanding mengekalkan jawatan,” katanya.

Hishammuddin juga menyatakan pendapatnya supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan.  – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");