Membawang Hari Ini
Like

Tiz Zaqyah berat hati balik raya

August 13, 2013
131 Views
0 Comments
4 minutes read
no-cover

tiz
JIKA orang lain tidak sabar untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, tidak pula bagi pelakon cantik Tiz Zaqyah.

Heroin drama Sebenarnya Saya Isteri Dia itu mengakui berat hati untuk pulang ke kampung menyambut raya. Sebaliknya, dia tidak sabar-sabar pula untuk balik semula ke Kuala Lumpur.

Mungkin ada yang menganggap sikap pelik Tiz Zaqyah itu disebabkan dia tidak dapat berenggang dengan kekasih hatinya, Daniel Haziq.

Pemuda kacak itu sering menghiasi gambar-gambar koleksi pelakon berusia 25 tahun itu di laman sosial Instagram miliknya.

Mengulas mengenai perkara itu, ternyata lain jawapan yang keluar dari mulut Tiz Zaqyah.

Ujatnya, dia berat hati untuk pulang ke kampung ibunya di Negeri Sembilan atau ke kampung bapanya di Melaka disebabkan 20 ekor kucing yang dipeliharanya.

“Setiap kali hendak balik raya ataupun ketika keluar negara untuk sesi penggambaran, saya mesti berasa berat hati tinggalkan 20 ekor kucing saya.

“Disebabkan itu, saya cuma balik raya sehari sahaja, sama ada balik ke Melaka atau Negeri Sembilan. Selebihnya kami menyambut raya di Kuala Lumpur sahaja,” jelasnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar drama Jodoh Itu Milik Kita di Restoran Teeq, Pusat Beli-Belah Lot 10, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beraya di rumah kekasih

Mengulas lanjut, kata Tiz, dia tidak sanggup menghantar kesemua kucingnya ke pusat pemeliharaan kerana risau akan keselamatan haiwan-haiwan kesayangannya itu.

Mempunyai kucing daripada baka biasa dan juga Parsi, Tiz turut membela lima ekor sugar glider. Kata Tiz, minatnya terhadap kucing telah bermula ketika usianya sembilan tahun.

“Pada waktu itu, ayah bawa saya ke rumah kawan dia. Ketika itulah kawan ayah hadiahkan dua ekor kucing. Sejak itu, kucing-kucing itu membiak sehinggalah menjadi 20 ekor,” jelasnya yang akan memperuntukkan sebanyak RM800 sebulan untuk menjaga haiwan peliharaannya.

Menyukai menu wajib ibunya iaitu rendang ayam, akui Tiz, dia tidak pandai memasak hidangan raya dan lebih senang melakukan dekorasi rumah bagi menyambut lebaran.

Disoal sama ada dia akan ke rumah kekasihnya pada tahun ini, jelas Tiz, dia sudah banyak kali ke rumah kekasihnya itu dan tidak terkecuali pada sambutan hari raya tahun ini.

Bukan sekadar mesra dengan keluarga Daniel, kekasihnya itu juga sudah begitu mesra dengan keluarga Tiz sendiri.

Daniel sebenarnya turut hadir pada majlis sidang akhbar drama Jodoh Itu Milik Kita itu. Buat pertama kalinya juga Tiz membawa kekasihnya pada majlis-majlis rasmi yang melibatkan media.

Daniel bagaimanapun enggan foto dirinya dirakam mahupun di temu bual. Dia sekadar berkata: “Saya datang ke sini untuk menemani Tiz kerana dia ingin menunjukkan kepada saya selok-belok dunia lakonan tempatnya mencari rezeki.”

Berlakon teater muzikal

Soalan lantas terus diajukan semula kepada Tiz tentang bilakah dia dan Daniel bakal mendirikan rumah tangga.

Ini memandangkan Tiz kini lebih bersikap terbuka dan berani membawa kekasihnya itu dalam majlis-majlis yang melibatkan media.

Tiz dan Daniel ada berbincang mengenai masa depan bersama tetapi buat masa ini mereka belum merancang untuk berkahwin.

Tiz berharap, hubungan selama setahun yang terjalin antaranya dan Daniel mekar dan menjadikan mereka lebih mengenali hati budi satu sama lain.

Dalam pada itu, Tiz memberitahu, buat kali pertama kali akan berlakon di pentas teater.

Tiz masih lagi dalam peringkat perbincangan untuk muncul dalam teater muzikal terbitan Datin Seri Tiara Jacquelina.

“Saya masih lagi pertimbangkan tawaran untuk berlakon teater muzikal dengan Tiara. Mengenai teater itu, ia akan diarahkan oleh Melissa Saila dan akan dipentaskan di Sabah dan Sarawak sahaja. Tetapi ia adalah peluang baik untuk saya cuba sebab di pentas teater saya boleh menimba lebih banyak pengalaman dan pengetahuan tentang dunia serta teknik lakonan,” jelasnya yang muncul menerusi drama raya, Karlos Bolos di TV3.

– KOSMO

Komen & Pendapat

Leave a Reply