Berita Hari Ini

279 jemaah berlepas ke Tanah Suci

JEMAAH HAJI

BAYAN LEPAS – Seramai 279 jemaah haji kumpulan pertama berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) bagi mengerjakan haji musim ini.

Timbalan Pengarah Lembaga Tabung Haji Pulau Pinang, Amat Kassim Pait berkata, bagi musim ini sebanyak lima penerbangan diperuntukkan bagi membolehkan 830 jemaah menunaikan haji di Makkah.

“Pada kali ini, ia terbahagi kepada lima sesi iaitu yang pertama adalah pada hari ini (semalam) dengan jumlah 279 jemaah manakala esok (hari ini) juga akan menerbangkan jumlah jemaah yang sama. Pada 19 September ini pula, sesi ketiga akan berlepas sementara sesi keempat pula pada 27 September dan yang terakhir pada 1 Oktober depan.

“Penerbangan yang disediakan akan berlepas terus dari Pulau Pinang ke Madinah. Kumpulan pertama ini dijangka pulang ke tanah air pada 1 November depan.

“Untuk kumpulan pertama ini, jumlah jemaah dari Pulau Pinang ialah 96, Kedah (76), Perlis (5), Perak (97), Kuala Lumpur (2), Selangor (1) dan Kelantan (2),” katanya kepada media selepas Majlis Pelepasan Jemaah Haji 1434 Hijrah di Kompleks Tabung Haji Pulau Pinang, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas yang ditemani isteri, Toh Puan Majimor Shariff serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus.

Abdul Rahman dan Majimor sempat bersalaman dan mengucapkan selamat jalan kepada kesemua jemaah haji kumpulan pertama berkenaan.

Sementara itu, warga emas, Zaliha Sulaiman, 67, yang berasal dari Parit Buntar, Perak berasa teruja apabila hasrat menunaikan haji pada musim ini tercapai walaupun mengalami sakit urat di sebelah kiri kaki.

Menurutnya, hasil kesabarannya mengumpul wang sejak lapan tahun lalu dengan dibantu anak-anak, dia berjaya menunaikan haji pada kali ini.

“Saya gembira dan teruja melihat sendiri Kaabah di depan mata serta menjejakkan kaki ke Makkah. Selama ini hanya dengar orang bercerita, tapi Alhamdulillah kali ini saya bernasib baik, dapat juga ke sana,” katanya.

Pembantu tadbir, Syajaratun Naim Abdullah, 33, yang berasal dari Guar Chempedak pula tidak dapat menggambarkan perasaannya kerana impiannya menunaikan haji bersama suami tersayang, Mohd Ridhuwan Abdul Rahim, 32, akhirnya tercapai.

“Sangat teruja dan bersyukur kerana akhirnya ALLAH makbulkan doa kami. Dalam masa sama, tidak dinafikan agak sayu meninggalkan dua anak kami kepada mertua selama kami berada di sana.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");