Jenayah

95 premis makanan diarah tutup

OPERASI

KAMPAR – Seorang pengusaha restoran makanan seakan hilang punca apabila beberapa kali menyatakan dirinya tidak tahu polisi pengendalian makanan ketika premisnya diperiksa dalam Ops Premis Makanan Bersih Bersepadu di Taman Bandar Baru Kampar, di sini, kelmarin.

Dalam operasi kira-kira jam 8.30 malam itu, pengusaha terbabit beberapa kali meminta maaf dan memberikan alasan tidak tahu apabila ditegur penguat kuasa.

Exco kerajaan negeri, Nolee Ashilin Mohd Radzi berkata, operasi dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Pejabat Kesihatan Daerah Kampar dengan kerjasama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, tahap kebersihan penyediaan dan pemprosesan makanan serta persekitaran premis dipandang serius.

“Sehingga semalam (kelmarin), sebanyak 66 premis makanan diperiksa dan lima daripadanya diarah tutup kerana tidak mematuhi undang-undang ditetapkan dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Bagaimanapun, tiga premis makanan yang diperiksa malam ini (kelmarin), mematuhi syarat ditetapkan,” katanya dalam operasi tiga hari disertai 55 pegawai dan penguat kuasa bermula 23 September lalu.

Turut serta, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nordiyanah Hassan; Timbalannya, Shamsuddin Ahmad dan Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perak, Datuk Omar Ahmad.

Nolee Ashilin berkata, pemarkahan setiap premis ditetapkan melalui sistem demerit dan jika kurang daripada 55 peratus mereka dianggap gagal kerana didapati tidak bersih serta mengancam kesihatan.

Menurutnya, premis makanan terbabit akan diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 akta sama dan diberi tempoh dua minggu untuk memastikan kebersihan di tahap memuaskan.

“Kita tidak berkompromi dengan pengusaha restoran yang gagal mengikut peraturan ditetapkan dan tindakan akan diambil.

“Pemeriksaan turut dijalankan ke atas pengendali dan makanan yang dijual, termasuk makanan berkaleng atau dalam bungkusan rosak, kemek berkarat, bocor atau melebihi tarikh luput,” katanya.

Beliau berkata, mengikut laporan operasi seluruh negeri sepanjang Jun hingga 19 September lalu, sebanyak 1,041 premis makanan diperiksa dan 95 daripadanya diarah tutup mengikut Seksyen 11 akta sama.

“Operasi rampasan makanan turut dijalankan dan membabitkan nilai rampasan RM26,255.45 kerana melakukan kesalahan seperti makanan tamat tarikh luput, bungkusan makan rosak seperti kemek dan berkarat serta kesalahan berkaitan pelabelan.

“Sebanyak 15 notis kesalahan dengan nilai kompaun RM15,000 mengikut Seksyen 32B akta sama dikeluarkan kepada peniaga kerana gagal mematuhi peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");