Isu Panas

Ali Rustam dialu-alukan tanding naib presiden Umno

mohd ali rustam

TAWAU – Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik hasrat bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali Rustam untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Ahmad Zahid berkata dengan pengumuman itu pemilihan jawatan dalam Umno kali ini akan lebih meriah sekaligus membuktikan pemilihan kali ini, khususnya untuk jawatan naib presiden dan ke bawah lebih terbuka.

“Saya berharap perwakilan Umno di semua peringkat terutama perwakilan daripada akar umbi akan dapat membuat pilihan terbaik di kalangan (calon) yang baik-baik pada pemilihan 19 Oktober nanti.

“Mudah-mudahan ini akan memperkukuhkan Umno dan akan memperkuatkan kepimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga (Timbalannya)Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat di sini hari ini.

Selain Mohd Ali, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Abdul Samad turut mengumumkan kesediaannya bertanding jawatan Naib Presiden Umno menjadikan kesemua mereka yang berminat bertanding jawatan itu kepada lima orang termasuk
penyandangnya iaitu Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Anggota Parlimen Kalabakan yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kalabakan Abdul Muis Picho.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau akan melaksanakan program penyelidikan dan latihan bagi meneruskan dan memperkukuh kesinambungan kepimpinan cemerlang Umno sekiranya sekali lagi diberi mandat oleh perwakilan untuk jawatan Naib Presiden Umno.

Katanya beliau telah diamanahkan pucuk pimpinan parti untuk mengetuai jabatan penyelidikan dan latihan dalam parti dan akan melaksanakan tugas berkenaan secara terbaik melalui sokongan semua peringkat kepimpinan parti.

Ahmad Zahid berkata sebagai ketua jabatan penyelidikan dan latihan parti dan berdasarkan tuntutan dan perkembangan semasa, penyelidikan amat penting diperkukuh kerana Umno memerlukan maklumat cepat dan tepat bagi membolehkannya membuat keputusan betul dan tepat.

Sehubungan itu, kepakaran penyelidik di kalangan ahli akademik dan ahli politik perlu disepadukan agar segala aktiviti dan program menepati kumpulan sasar terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 kelak.

Katanya semua data dan analisis data perlu dikumpul manakala sebarang perubahan trend pula perlu dibaca mulai sekarang supaya tidak berlaku kejutan apabila menjelang pilihan raya atau jika ada pilihan raya kecil.

“Dalam bidang latihan, saya akan tumpu kepada latihan ke arah memantapkan roh perjuangan di dalam Umno di semua peringkat, akar umbi, bahagian, negeri dan nasional, kerana roh perjuangan ini harus disuntik dengan elemen utama termasuk elemen kerohanian.

“Nilai kerohanian harus diperkukuh walupun ianya masih kental di dalam Umno. Masyarakat memerlukan kebahagiaan rohani agar mereka dapat merasa kepuasan berjuang di dalam Umno yang disekalikan dengan kepuasan dalam bentuk amal yang mendapat restu Allah,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");