Sukan Hari Ini

Azraai: Dakwaan tidak benar

azrai

DAKWAAN bahawa jurulatih Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah dapat mengesan beberapa pemain skuad Seladang yang terlibat dengan unsur bookie sehingga menjadi punca kekalahan 1-6 kepada Sarawak dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching malam kelmarin merupakan satu tuduhan liar dan tidak berasas.

Azraai Khor yang menafikan dakwaan tersebut menegaskan bahawa beliau tidak mengetahui hal tersebut bahkan untuk bertindak melulu tanpa bukti yang kukuh kerana ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada dirinya tetapi juga nama pemain tersebut.

“Dari mana timbul tuduhan ini? Setakat ini tiada apa bukti untuk mengaitkan pemain Perak terlibat dengan unsur rasuah.

“Lagipun, saya tidak akan membuat tuduhan melulu tanpa bukti. Ia melibatkan maruah dan nama pemain. Saya juga tidak akan mengaibkan nama seseorang sekiranya ia tidak jelas, Dalam hal sebegini, kita harus menyiasat terlebih dahulu, bukannya terus menuduh.

“Jadi, bagi saya ia hanya dakwaan liar dan tidak berasas. Apa pun, kita akan membuat analisa semula mengenai prestasi pemain dan mengkaji balik kelemahan yang ada untuk memantapkan Perak pada musim depan,” katanya semalam.

Tambah Azraai Khor, setakat ini beliau amat berpuas hati dengan disiplin anak buahnya dan beliau yakin pasukannya bebas daripada gejala itu yang secara tiba-tiba kembali dibangkitkan dalam saingan Piala Malaysia ini.

“Kalah dan menang adalah adab perlawanan. Kita tidak boleh syak pemain terlibat dengan bookie sekiranya kita kalah. Tidak adillah untuk pemain. Setiap tuduhan harus disertakan dengan bukti,” ujarnya.

Kelmarin, ada desas desus yang mendakwa bahawa Azraai telah mengenal pasti beberapa pemain Perak yang dikatakan terlibat dengan unsur bookie sehingga menjadi punca kekalahan kepada Sarawak.

Kekalahan itu menyebabkan perjuangan Perak untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia tertutup apabila hanya menduduki tangga ketiga hasil tujuh mata.

Sementara itu, Azraai berkata, kekalahan berkenaan adalah yang terburuk pernah dialaminya sejak bergelar jurulatih.

Katanya, kesebelasan pemain yang diturunkan juga tidak dapat beraksi dengan baik di sepanjang perlawanan. “Seperti kita tahu, Stadium Negeri di Kuching terkenal sebagai gelanggang keramat Sarawak, apatah lagi ditambah dengan sokongan padu daripada ribuan penyokong setia mereka.

“Mungkin ini menyebabkan pemain kita tidak dapat beraksi seperti biasa dan seterusnya menyumbang kepada kekalahan ini,” katanya lagi.

Kelmarin, skuad Kejor Yob Kejor itu gagal mara ke suku akhir selepas dibelasah 6-1 oleh Sarawak dalam pertemuan terakhir peringkat kumpulan D Piala Malaysia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");