Perak Aman Jaya, Perak Hari Ini

Berani Buat Perubahan, Inovasi: Setiausaha Kerajaan Negeri

Datuk Abd Puhat Mat Nayan

Golongan penjawat awam perlu sentiasa berani melakukan perubahan dan inovasi bagi menghasilkan kaedah terbaik, pantas dan tepat untuk memenuhi kehendak pelanggan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Beliau berkata, penyelesaian kekangan tersebut memerlukan daya pemikiran kreatif serta keupayaan menjana idea-idea yang mampu memberi impak positif selari dengan arus perubahan semasa.

“Tiada garis penentu dalam menjadikan seseorang itu sebagai berinovasi dan kreatif, malah sesiapa sahaja boleh mencetuskan pembaharuan dalam pelbagai bidang.

“Namun, apa yang penting ialah sifat keterbukaan dan berani berubah. Bagi meningkatkan daya saing antara semua pihak dalam mencapai sasaran negara ekonomi bernilai tinggi, budaya inovasi perlu diterapkan di kalangan semua kakitangan awam,” katanya ketika merasmikan majlis Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Sektor Awam Ke-26 peringkat Negeri Perak, di Ipoh, hari ini.

Katanya, menerusi inovasi baru, penyampaian perkhidmatan oleh penjawat awam akan mempunyai nilai tambah yang menjadi kayu pengukur dalam membuat penilaian membabitkan pelbagai aspek.

“Dengan penghasilan sesuatu kaedah baru, permohonan mendapatkan hak cipta, paten, cap dagangan atau rahsia perdagangan daripada Perbadanan Harta Itelek Malaysia perlu dilakukan.

“Ini dapat membantu melindungi hak eksklusif penciptaan yang telah dihasilkan sekaligus menjana pendapatan jika mempunyai nilai komersial untuk pasaran,” ujarnya.

Beliau juga berkata, penjawat awam perlu meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran setiap masa agar dapat memperkukuhkan organisasi mereka.

Sebanyak 27 kumpulan menyertai pertandingan itu yang terdiri daripada 13 kumpulan teknikal manakala 14 kumpulan pengurusan sektor awam dari Perak turut menyertai konvensyen sehari tersebut.

Kadar hadiah untuk johan, naib johan, tempa ketiga dan persembahan juga telah dinaikkan kepada empat kali ganda berbanding pada tahun lepas iaitu masing RM20,000, RM16,000, RM12,000 dan RM2,000 di samping hadiah iringan bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan agensi sektor awam di Perak.

Kumpulan ATOM yang mewakili Makmal Klinik Kesihatan Greentown Ipoh memenangi Anugerah KIK Kategori Teknikal dengan tajuk projek ‘Kelewatan Pelepasan Keputusan Tibi Di Pejabat Kesihatan Daerah Kinta’.

Sementara itu, kumpulan MESMERIZE dari Bahagian Hal Ehwal Akademik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim memenangi Anugerah KIK Bagi Kategori Pengurusan dengan tajuk ‘Kesukaran Memilih Calon Penerima Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sempena Istiadat Konvokesyen UPSI’.

Johan bagi setiap katogeri masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 bersama piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");