Perak Hari Ini

Jangan Rosak Hubungan Kekeluargaan Parti: DS Zambry

PERAKTODAY11

Semua calon UMNO yang bakal bertanding untuk pemilihan parti Oktober depan dinasihatkan agar menjaga tingkah laku masing-masing bagi memastikan hubungan kekeluargaan yang terjalin selama ini terus kekal utuh.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata:

“Saya berharap kempen-kempen yang akan dijalankan nanti tidak memporak-perandakan parti dan semua calon boleh bertanding dalam suasana yang aman.

“Pertandingan dalam UMNO ini dianggap sebagai pertandingan berbentuk kekeluargaan. Siapa yang menang atau kalah, mereka tetap sebahagian daripada keluarga kita,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kampung Orang Asli Aman Damai di Hutan Royal Belum, dekat Temengor, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq.

Beliau menasihati calon yang tewas agar tidak merajuk dengan membawa diri keluar daripada parti kerana ia bukan cara atau pendekatan yang sepatutnya dilakukan oleh mana-mana calon yang bertanding.

“Asas UMNO berbanding parti-parti lain adalah dari segi pemilihan pemimpin yang dibuat bermula daripada peringkat bawah hingga ke peringkat nasional.

“Jadi, saya harap faktor pemilihan pemimpin seperti nilai serta kelayakan memimpin parti perlu diambil kira,” tegasnya.

Menurut Zambry lagi, beliau juga mengharapkan ahli-ahli UMNO dari akar umbi melihat seseorang tokoh itu tanpa tertumpu kepada politik wang.

“Kita tidak boleh biarkan mereka yang terpilih nanti diukur berdasarkan kepada nilai wang kerana ini bukan matlamat sebenar UMNO.

“Oleh sebab itulah kita laksana transformasi yang sebegini  besar dalam parti kerana mahu mengelakkan masalah-masalah sebelum ini timbul kembali,” ujar Zambry.

Terdahulu, Menteri Besar Perak itu turut menyampaikan sijil penyertaan Kursus Tatacara Asas Pemandu Pelancong kepada 50 peserta yang terdiri penduduk Kampung Orang Asli Aman Damai.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");