Sukan Hari Ini

Kemenangan pertama: Penyu anggap ia tuah

ELAVARASAN

“KAMI cuma bernasib baik.” Itu komen jurulatih Terengganu, E Elavarasan mengenai kemenangan anak buahnya ke atas Pahang pada pertembungan keempat saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.

Kemenangan pertama yang diraih skuad Penyu cukup penting buat pasukan dari pantai timur itu untuk menghidupkan peluang ke suku akhir.

Mengulas perlawanan berkenaan, Elavarasan akui aksi lebih banyak dikuasai pasukan tuan pelawat, namun nasib menyebelahi Terengganu selepas Khairul Ramadhan Zauwawi menyempurnakan sepakan pada masa kecederaan separuh masa kedua.

“Pasukan kami bermain dengan baik malam tadi. Lagipun kemenangan semalam amat penting untuk membolehkan pintu ke suku akhir buat Terengganu masih terbuka.

“Tidak dinafikan Pahang lebih banyak mendapat peluang, namun gagal mencipta jaringan.

“Namun inilah bola sepak, pasukan yang gagal memanfaatkan peluang akan dihukum. Apa pun, saya percaya Pahang masih lagi antara pasukan yang perlu diberi dalam kumpulan ini termasuk juga Kelantan dan Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Mengakui pemain beraksi dengan bagus sehingga berjaya mencipta kejutan di laman sendiri, Elavarasan bagaimanapun enggan menjadikan kemenangan tersebut sebagai kayu pengukur prestasi pasukannya dalam saingan Piala Malaysia.

Sebaliknya beliau menekankan masih banyak yang perlu diperbaiki oleh pemain dalam mengharungi dua baki lagi perlawanan selepas ini.

“Tidak dinafikan mereka (pemain Terengganu) memberikan yang terbaik semalam namun saingan masih panjang dan banyak perlu diperbaiki.

“Dan perlawanan kelima menentang Kelantan selepas ini amat penting kerana ia penentu sama ada layak atau tak ke peringkat seterusnya memandangkan mata yang dikumpul oleh semua pasukan Kumpulan C juga hanya dibezakan dengan satu dan dua mata.

“Jadi, saya mahu pemain fokus dan kekalkan rentak yang ada,” ujarnya yang tetap berpuas hati dengan aksi pemain yang berjaya melaksanakan perubahan tempo sekali gus mencatat kemenangan.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");