Sukan Hari Ini

Mahaleel: Siapa ludah siapa?

mahaleel1

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menyelar kenyataan jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek yang mendakwa keputusan beliau untuk meninggalkan badan unduk itu selepas 10 tahun berbakti buat skuad kebangsaan disebabkan masalah pengurusan baru.

Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang terbang dari Kelantan untuk bertemu media berikutan peletakan jawatan Rashid kelmarin berkata, segala kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pemenang pingat gangsa di Sukan Olimpik 1996 di Atlanta itu, adalah rekaan semata-mata yang bertujuan untuk mengaburi mata BAM.

“Saya ingin tegaskan tujuan saya menjemput Tan Aik Mong ke sini adalah untuk membantu saya, dia hanya memantau dan bekerja sebagai Pengarah Pengurusan Bakat (TMG) BAM bukannya mengganggu seperti yang didakwa Rashid kecuali mendapat keizinan saya. Saya tidak tahu tujuan dia berbuat demikian. Tetapi semua itu tidak benar.

“Dan untuk makluman semua, kami telah menemui artikel India (media) bertarikh 19 Julai yang menyatakan Rashid telah menandatangani kontrak satu tahun dengan Delhi Smashers.

“Jika ini benar, maka Rashid telah melanggar kontrak. Dalam undang-undang, anda tidak boleh mempunyai dua kontrak. Bagaimana anda boleh mempunyai kontrak dengan kami dan mendaftar dengan orang lain? Ini kerana, bila kamu ikat perjanjian dengan India, bagaimana kamu ingin mengendalikan latihan di sini.

“Jadi siapa ludah siapa dalam hal ini, dia ludah kita atau BAM ludah kepadanya? Saya fikir semua orang boleh menilainya setelah ketahui hal sebenar. Oleh itu, bagaimana kita mahu adil jika keadaan seperti ini,” katanya pada sidang media di pejabat BAM semalam.

Rashid, yang menyerahkan surat peletakan jawatannya kelmarin mempunyai kontrak dengan BAM yang bermula 1 Januari 2013 hingga Disember depan.

Menurut Tengku Mahaleel, pihaknya mungkin akan mengenakan tindakan undang-undang kepada Rashid sekiranya apa yang didakwakan itu benar.

“Dalam undang-undang, pelanggaran kontrak akan mempunyai kesan yang teruk. Tapi kita akan meneliti terlebih dahulu dengan pihak India mengenai hal ini dan sekiranya betul, baru kita akan lihat apa tindakan lanjut akan dibuat.

“Buat masa ini peletakan jawatannya itu belum diterima oleh BAM dan kita tidak akan buat sebarang keputusan selagi kesahihan mengenai perjanjian dia dengan India tidak diketahui,” ujarnya yang menganggap pemergian Rashid bukan satu kehilangan besar buat BAM.

“BAM tidak mempunyai masalah kehilangannya, kita masih mempunyai ramai pilihan jurulatih dan dilihat penilaian pemain di bawah bimbingannya juga tidak menunjukkan hasil yang bagus,” jelas beliau.

Kelmarin, Rashid, 45 mengejutkan BAM apabila menghantar surat peletakan jawatan dengan sebulan notis.

Apa yang lebih membimbangkan, khabar kini bertiup kencang bahawa tindakan Rashid bakal disusuli oleh beberapa lagi jurulatih kebangsaan lain.

Tambah Tengku Mahaleel, pihaknya akan menyiasat dakwaan tersebut dan mesyuarat bersama ahli jawatankuasa akan diadakan selepas ini bagi membincangkan isu terbabit.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");