Membawang Hari Ini

Mampukah masa mengubah cinta?

CINTA MASA

Ada ketikanya ketika kecil, ada antara kita yang gemar menyorok dalam almari dan berharap sesuatu keajaiban akan berubah selepas kita keluar.

Justeru, pernahkah anda terfikir untuk kembali ke masa lampau dan mengubah beberapa perkara termasuk cinta dengan hanya masuk ke dalam almari pakaian?

Memang kedengaran mustahil dan pelik, namun situasi itu dijelmakan oleh Richard Curtis yang sebelum ini pernah mengarahkan filem romantik komedi, Notting Hill dan Love Actually, dalam filem terbarunya.

Filem romantik komedi berjudul ‘About Time’ ini menampilkan Rachel McAdams yang pernah membintangi ‘The Notebook’ dan Domhnall Gleeson sebagai teraju utama di samping Tom Hollander dan Bill Nighy.

Ia membawa penonton melayari kisah cinta antara Tim dan Mary yang tidak seperti kisah percintaan manusia normal.

Seawal usia 21 tahun, Tim (Domhnall Gleeson) telah didedahkan dengan satu rahsia keluarga oleh ayahnya. Rahsia itu membongkar keajaiban yang dimiliki oleh semua lelaki di dalam keluarga di mana mereka mampu kembali ke masa lalu dan mengubah apa yang terjadi.

Sejak itu, Tim menggunakan kebolehannya untuk memikat hati Mary (Rachel McAdams). Namun begitu, ia tak semudah yang Tim jangkakan. Walaupun dia boleh kembali ke masa lalu dan cuba membetulkan kesalahannya beberapa kali yang dia mahukan, takdir kehidupan tetap tak berpihak padanya.

Konflik bermula apabila masa menentukan yang kuasa cinta Tim ke atas Mary sudah tak berkesan kerana Mary langsung tak mengingati yang mereka pernah bertemu. Walau dengan anugerah unik yang dimilikinya, Tim masih tak mampu untuk melawan takdir.

Konflik melucukan

Biarpun berdepan dengan konflik demi konflik, dalam usaha Tim untuk menjadi seorang lelaki sempurna, namun Curtis telah menyampaikannya dalam bentuk yang santai dan ada ketikanya konflik itu akan membuatkan anda ketawa.

Apatah lagi, setiap kali melakukan kesilapan, Tim akan segera kembali ke dalam almari dan ‘mengubah’ semula segala situasi yang berlaku agar lebih sempurna.

Meskipun nampak agak ganjil dan mustahil, namun bagi mereka yang pernah berangan-angan sedemikian ketika kecil, filem ini seolah-olah merealisasikan impian anda, biarpun tidak secara keseluruhannya.

Selain itu, gandingan Gleeson dan McAdams dalam filem ini juga membuatkan anda akan sentiasa dibuai rasa cinta setiap kali melibatkan babak romantis.

Meskipun bukan gandingan popular di Hollywood, namun mereka berdua memberikan lakonan berkesan, termasuk Gleeson yang kelihatan seperti seorang budak lurus bendul mendapat kehidupan baru.

Pengajaran dari penceritaan

Dalam melihat segala situasi lucu, filem ini sebenarnya membawa banyak mesej penting untuk dihayati penonton.

Contohnya, setiap perkara yang kita lakukan termasuk bercinta memerlukan usaha berterusan dan kejujuran untuk kita memenanginya dan segala jalan singkat bukan bermakna kita akan berjaya melakukannya dengan sempurna.

Justeru, amatlah penting untuk menggandakan usaha sekiranya kita mahu mendapatkan sesuatu perkara.

Jadi jika anda mahu mengetahui apakah sebenarnya terjadi kepada Tim? Mampukah Tim membuat Mary jatuh cinta kepadanya semula atau mengalah sahaja? Saksikan About Time di pawagam anda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");