Jenayah

Mayat Lelaki Dipercayai Penagih Dadah Ditemui Dalam Keadaan Melecur Seluruh Badan

crime

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki, dipercayai penagih dadah ditemui mati dalam keadaan melecur hampir keseluruhan badannya di tepi jalan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini Isnin.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata mayat lelaki tanpa identiti dan berumur lingkungan 20-an itu ditemui orang awam dalam keadaan bogel pada pukul 1 tengah hari sebelum memaklumkannya kepada polis.

“Polis yang tiba 10 minit kemudian, menemui mayat lelaki itu…turut berada bersamanya di situ adalah beberapa tin ‘thinner’ dan peralatan untuk menghisap dadah.

“Polis percaya lelaki itu mati kerana disambar api yang terhasil daripada tin ‘thinner’ yang meletup ketika lelaki itu asyik melakukan ‘aktivitinya’ di kawasan itu,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mohan berkata hasil siasatan polis menunjukkan, lokasi itu yang dikelilingi hutan kecil, sering menjadi lokasi penagih untuk menghisap dadah serta menghidu gam dan ‘thinner’, selain menjadi jalan pintas kepada orang awam.

“Lelaki itu dipercayai mati dalam tempoh 24 hingga 48 jam lepas. Mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");