Perak Hari Ini

Suasana Kekeluargaan Harus Diutamakan Dalam Pemilihan

zambry-idr-322x215

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengingatkan semua ahli yang bertanding agar meletakkan kepentingan parti mengatasi diri dan berpegang teguh kepada amalan kekeluargaan dalam pemilihan di setiap peringkat parti.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Ipoh, Menteri Besar Perak itu juga menegaskan parti memerlukan barisan pemimpin yang mantap untuk menghadapi cabaran mendatang termasuklah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ketika ini berlangsung mesyuarat di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

“Saya berharap semua ahli dapat memikirkan kepentingan parti mengatasi kepentingan individu kerana kita perlu belajar daripada peristiwa lalu membabitkan tiga pilihan raya umum sebelum ini.

“Adalah malang sekiranya kita terus berantakan sesama sendiri dan melihat persaingan dalam UMNO itu lebih hebat daripada persaingan dalam pilihan raya hingga mencetuskan permusuhan,” katanya.

Tegasnya lagi, semua pihak yang bertanding di setiap peringkat perlu menganggap proses pemilihan sebagai proses demokrasi yang harus dilaksanakan dalam suasana kekeluargaan.

“Mana-mana calon yang menang atau kalah bertanding harus diterima dan dianggap sebagai lumrah atau perkara biasa dalam sistem pemilihan sesebuah parti,” katanya.

Menurutnya lagi, asakan keterlaluan seperti politik wang dan kem tertentu perlu dielakkan kerana ia akan menimbulkan ‘kesesakan nafas’ kepada ahli untuk membuat pemilihan kelak.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat di semua peringkat cawangan UMNO.

“Sekiranya berlaku ketegangan seperti insiden baling kerusi dan pergaduhan, sudah pasti ianya membimbangkan kita tetapi secara keseluruhannya mesyuarat di peringkat cawangan berjalan lancar,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");