Berita Hari Ini

Menteri terima maklum balas lagu Negara di pawagam

SB

KEMAMAN – Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mendapatkan maklum balas daripada orang ramai berhubung keberkesanan pelaksanaan nyanyian lagu Negaraku di pawagam terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada untuk meneruskannya pada masa hadapan.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pada keseluruhannya setelah lagu Negaraku berkumandang di pawagam, semua penonton berdiri kecuali beberapa insiden kecil di Pulau Pinang apabila ada beberapa penonton tidak berdiri.

“Keseluruhannya sambutan adalah baik. Cuma kita akan mendengar maklum balas mengenai apakah ia perlu dipanjangkan tempoh atau mengulangi pada tahun depan berasaskan kepada kaji selidik yang kita akan edarkan selepas ini.

“Kes seumpama di sana adalah kes terpencil. Ada tempat yang ditegur oleh pihak pawagam dan ada juga disergah oleh penonton-penonton sendiri yang marah sekiranya ada penonton yang tidak menghormati lagu Negaraku,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka hari raya Parlimen Kemaman di Dataran Kuala Kemaman di sini hari ini yang dihadiri lebih 20,000 pengunjung.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book Of Records Aziz Hamdan.

Ahmad Shabery sebelum itu menerima lintas hormat dan kedatangan lebih 1,000 peserta program Jelajah Bot Fiber dan bot nelayan di persisiran pantai dengan membawa serta mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-56 dan Merdeka Raya 2013.

Beliau berkata pada peringkat awal, kementerian itu mempunyai masalah berkaitan format filem yang mereka edarkan dalam format digital kerana ada sebahagian pawagam masih menggunakan kaedah filem biasa 35mm.

Justeru katanya masa diperlukan untuk mengubah suai format itu bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang.

Dalam perkembangan lain Ahmad Shabery berkata bagi memudahkan saluran bantuan penggilan dengan lebih efisien, pihaknya akan melancarkan Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 pada 9 September ini di Putrajaya.

Menurutnya sistem bersepadu itu menggabungkan lima agensi bantuan kecemasan iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu platform bagi mengendali dan menyalurkan panggilan serta maklumat kecemasan melalui satu nombor iaitu 999.

“Rakyat Malaysia kini hanya perlu menghubungi satu nombor kecemasan untuk mendapatkan bantuan kecemasan membabitkan polis, bomba, hospital dan Jabatan Pertahanan Awam. Kita kini giat mengadakan kempen-kempen tersebut sebelum pelancaran besarnya di Putrajaya,” katanya.

Talian 999 dikendalikan Telekom Malaysia dengan usahasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Dalam program jelajah bot fiber dan bot nelayan itu, sebanyak 265 bot mengambil bahagian yang diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai perbarisan dalam air yang terbesar dan belum pernah dibuat sebelum ini.

Seawal pukul 7 pagi, konvoi yang diketuai pengerusi programnya, Mustafa Ab Rahman memulakan perjalanan dari tambatan bot Kuala Kerteh hingga Kuala Kemaman membabitkan perjalanan sejauh 60km dengan kesemua bot itu berkapasiti bawah 125 kuasa kuda.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");