Isu Panas

Mukhriz dijangka bertanding

muhkriz mahathir

Kuala Lumpur: Enam calon hampir pasti menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti bulan depan, termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, yang dijangka mengumumkan keputusannya, hari ini atau selewat-lewatnya esok.

Sumber berkata, Mukhriz yang menerima sokongan padu pemimpin UMNO peringkat bahagian di Kedah, sudah memutuskan untuk menawarkan diri bertanding merebut jawatan itu.

Pertahan jawatan

Sebelum ini, tiga penyandang iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mengumumkan akan mempertahankan jawatan mereka.

Dua lagi calon turut mengumumkan menawarkan diri bertanding jawatan itu, ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad.

Pencalonan Mukhriz bakal menyaksikan persaingan sengit enam penjuru dalam kalangan calon ‘heavyweight’ bagi mengisi tiga jawatan penting dalam UMNO itu.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, ketika dihubungi berkata, tidak mustahil berlaku pertandingan enam penjuru untuk merebut tiga kerusi Naib Presiden.

Persaingan sengit
“Ada desas-desus seorang lagi calon akan mengumumkan bertanding jawatan itu, menjadikan keseluruhannya enam penjuru yang dijangka sengit,” katanya yang enggan mengulas lanjut seorang lagi calon yang bakal menawarkan diri bertanding jawatan itu.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff berkata, UMNO bahagian itu menyokong keputusan UMNO Wilayah Persekutuan untuk mengekalkan lima penyandang sekarang iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden.

“Kami juga menyokong tiga penyandang Naib Presiden tidak dicabar iaitu Zahid, Hishammuddin dan Shafie kerana mereka berkarisma membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.

UMNO Kedah sokong Mukhriz

Di Petaling Jaya: UMNO Kedah akan menyokong Mukhriz, jika beliau mahu bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu.

Ketua Bahagian UMNO Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pemimpin dan ahli parti di negeri terbabit diyakini akan berbuat demikian memandangkan Mukhriz adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah sekarang.

“Jika Mukhriz membuat keputusan untuk bertanding jawatan Naib Presiden, kita akan menyokong beliau. Ia tidak menjadi masalah untuk menyatakan sokongan kepada Mukhriz.

“Namun, lebih elok beliau merujuk kepada orang nombor satu dalam parti sebelum bertanding jawatan ini seperti yang disarankan oleh Zahid,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Produktiviti Hijau Sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Pembelian Hijau Ke-4 di sini, semalam.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");