Sukan Hari Ini

Nazrin Nawi : ‘Maafkan saya TRW’

nazrin

TEKA-TEKI ke mana hala tuju pemain sayap lincah Negeri Sembilan, Nazrin Nawi yang menjadi rebutan beberapa pasukan elit musim depan akhirnya terjawab apabila bakal menyarung jersi Johor Darul Takzim (JDT).

Nazrin yang akan tamat kontrak November ini bersama Negeri Sembilan menyifatkan keputusan memilih JDT tepat demi kariernya.

“Buat masa ini segala urusan perpindahan hampir 95 peratus untuk diselesaikan selepas kontrak bersama Negeri Sembilan berakhir November.

“Beraksi bersama pasukan besar seperti JDT memang menjadi idaman setiap pemain bola sepak selain bergandingan dengan Pablo Aimar dan pemain bintang yang lain.

“Sokongan peminat pasukan juga mendorong saya memilih Harimau Selatan selain cabaran merebut posisi utama setiap kali pasukan beraksi.

“Peluang datang hanya sekali dan ia perlu dimanfaatkan, setiap pemain inginkan cabaran, ia tidak terkecuali kerana inilah masanya saya ingin buktikan kepada peminat bola sepak tempatan,” katanya.

Nazrin berkata, faktor kewangan yang kukuh dari JDT mendorong keputusannya demi karier masa depannya.

“Semua orang pasti melihat perpindahan ini dibayangi gaji tinggi, itu tak dapat dinafikan kerana kerjaya bola sepak adalah profesional dan saya mencari rezeki demi masa depan.

“Bagi saya ia bukanlah satu kesalahan kerana Negeri Sembilan mengetahuinya dan tidak menghalang kerana saya bebas membuat keputusan berhijrah atau sebaliknya.

“Mereka (Negeri Sembilan) ada menawarkan kontrak baru, saya hargai namun terpaksa menolak dan mereka memahami,” katanya.

Mengulas tentang perkhabaran mengaitkan dirinya akan menabur bakti bersama pasukan Kelantan, Nazri menjelaskan sememangnya ada dalam perancangan sebelum ini.

“Kita tidak boleh memenuhi semua kehendak penyokong, keputusan perlu dibuat dan saya kini di fasa terakhir untuk beraksi bersama Harimau Selatan,” katanya.

Kelibat Nazrin mula mendapat perhatian selepas berjaya meledak hatrik membantu pasukannya menewaskan Sabah 4-0 dalam aksi playoff Piala Malaysia, selain aksi larian pantas dan bertenaga ketika bersama Harimau Malaya dalam beberapa siri perlawanan persahabatan antarabangsa.

Bermula daripada situ, pemain berusia 25 tahun ini semakin digeruni lawan terutamanya melalui sepakan percuma kaki kiri yang boleh dikatakan bola sentiasa menerjah jaring gol lawan.

Sebelum ini, pemain tersebut dikatakan bakal bersama Kelantan dan sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) namun terpaksa membatalkannya kerana mendapat tawaran JDT.

Difahamkan, Nazrin menerima RM7,000 sebulan ketika bersama Negeri Sembilan dan ditawarkan RM14,000 sebulan oleh Kelantan, manakala JDT menawarkan kira-kira RM40,000 sebulan bagi mendapatkan khidmatnya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");