Jenayah

OBPT: 52 awak-awak warga asing ditahan

gari 1

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia menahan 52 awak-awak warga asing dalam Operasi Bersepadu Pantai Timur (OBPT) yang bermula 9 September lepas sehingga hari ini, di sekitar perairan Terengganu dan Pahang.

Pengarah Bahagian Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Malaysia, Gulamsarwar Jan Mohammad berkata, sepanjang operasi itu, pihaknya turut merampas 10 buah bot nelayan yang melakukan pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 53 pemeriksaan dilakukan terhadap bot nelayan dengan sembilan buah dirampas kerana kesalahan melanggar syarat lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa permit sah, disyaki menyeludup diesel, tiada lesen menangkap ikan dan tiada pengenalan diri yang melibatkan Akta Perikanan 1985 Seksyen 8(b),” katanya kepada pemberita di majlis penutup OBPT, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebuah lagi vesel dirampas kerana kesalahan menurut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Imigresen.

Katanya, awak-awak berusia lingkungan umur 20 hingga 60 tahun yang ditahan itu merupakan rakyat Thailand, Vietnam, Kemboja dan Myanmar yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua mereka kini direman dan akan disiasat di bawah Seksyen 25 (b) Akta Perikanan 1985 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Gulamsarwar berkata, kesemua bot yang disyaki melakukan kesalahan dibawa ke jeti Perikanan Padang Lalang di sini dan Jeti Tahanan Vesel Kemaman maritim untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, operasi itu melibatkan empat aset Jabatan Perikanan dan enam aset maritim termasuk pesawat udara Bombardier CL415 MP.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");