Berita Hari Ini

Pasukan Keselamatan Pantau Konflik Bersenjata di Selatan Filipina

Datuk-Abdul-Rahim-Bakri

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata pihak berkuasa pertahanan dan keselamatan negara sentiasa memantau konflik bersenjata dan pergolakan terbaru yang meletus di selatan Filipina.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi menilai sama ada konflik berkenaan akan memberi kesan langsung terhadap ancaman keselamatan dan pertahanan negara khususnya, Sabah.

“Pertempuran antara tentera kerajaan Filipina dan serpihan dari Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dikhuatiri akan membuka ruang ketidakstabilan di wilayah yang baru saja menyaksikan rangka kerja perjanjian damai di antara kerajaan Filipina dan puak pemisah yang juga kumpulan berpengaruh iaitu Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan Malaysia menjadi perantara utama.

“Sebagai negara jiran terdekat, pergolakan di sana dikhuatiri sedikit sebanyak akan melimpah kesannya ke Sabah,” katanya kepada pemberita sempena lawatan ke tapak cadangan kem tentera di Kudat dan pos kawalan Dogoton Pulau Banggi, dekat Kudat, Rabu.

Bagaimanapun, Abdul Rahim berkata pihak pertahanan dan keselamatan negara sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita tidak akan membiarkan kedaulatan negara dicabuli. Rakyat diminta sentiasa bersatu hati dan menyokong sebarang langkah kerajaan.

“Pihak tertentu diseru tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh membuka ruang kepada anasir asing untuk mengeksplotasi suasana apatah lagi dalam kita menyambut Hari Malaysia ke-50 tahun ini,” katanya.

Abdul Rahim berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan, dan kerajaan mempunyai pelbagai peruntukan perundangan yang mampu memerangi anasir jahat.

Ini termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)dan Akta Hasutan yang boleh dikenakan tindakan terhadap sesiapa yang disyaki atau terlibat dalam menggugat kestabilan, keselamatan dan pertahananan negara, katanya.

“Negara kita akan sentiasa menjalin kerjasama erat dengan pelbagai pihak dalam dan luar negara demi menjaga kestabilan, keamanan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Semasa lawatan itu, Abdul Rahim yang juga anggota Parlimen Kudat diiringi Panglima Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM), Lt Jen Dato Sri Abdul Halim dan Panglima 5 Briged, Datuk Ranjit Singh.

-BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");