Berita Hari Ini

Pelabur Terus Yakin Terhadap Malaysia Sebagai Destinasi FDI – PM

pm 2NEW YORK: Pelabur terus menaruh keyakinan terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan langsung asing (FDI) walaupun kemasukan pelaburan langsung ke dalam negara susut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu.

Beliau berkata Malaysia mencatat kemasukan US$10.16 bilion FDI pada 2012 dan mengekalkan kedudukannya sebagai penerima FDI ketiga terbesar di Asean, dalam Laporan Pelaburan Dunia 2013 oleh Persidangan Pembangunan dan Perdagangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD).

UNCTAD juga meletakkan Malaysia di tangga ke-11 antara 20 ekonomi dengan keuntungan tertinggi FDI, kata Najib yang juga Menteri Kewangan pada Simposium Pelaburan Global di Kelab Havard New York di sini.

Simposium yang bermatlamat mempromosi Malaysia, khususnya Greater Kuala Lumpur, destinasi dan peluang pelaburan yang tiada tandingannya kepada pelabur US, dihadiri ahli perniagaan, pelabur dan pemimpin kanan industri US.

Najib berkata 17 peratus kadar pulangan yang direkodkan oleh Malaysia membuktikan Malaysia sesungguhnya menguntungkan untuk menjalankan perniagaan.

Beliau berkata pelabur dalam pasaran Malaysia turut memperoleh manfaat daripada dasar-dasar perlindungan pelabur yang kukuh, yang disahkan berdasarkan ranking Malaysia di tangga keempat dalam Indeks Perlindungan Pelabur – ‘World Bank’s Doing Business 2013’.

Najib berkata Malaysia juga telah mengambil langkah dalam memastikan keselamatan pelaburan asing dengan menandatangani Perjanjian Jaminan Pelaburan bersama 58 negara, yang melindungi syarikat-syarikat asing terhadap nasionalisme dan ekspropriasi serta pelbagai kemungkinan lain.

“Berdasarkan faktor ini, saya menggalakkan anda untuk mengkaji menjadikan Greater KL as sebagai hab serantau untuk Perniagaan, Inovasi dan Bakat, disokong oleh kos yang rendah, keupayaan tinggi serta infrastruktur bertaraf dunia yang menawarkan nilai yang tinggi. Jangan buat kesilapan, Greater KL penting untuk peluasan anda secara berterusan di Asia,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau menunggu untuk menyambut lebih ramai multinasional Amerika ke Kuala Lumpur untuk membuka operasi di rantau itu.

Amerika Syarikat merupakan rakan dagang yang penting bagi Malaysia, dengan jumlah dagangan hampir US$40 bilion pada 2012, dengan hubungan dagangan dua hala memihak kepada Malaysia. US juga ialah rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2011, kedua terbesar antara 10 negara anggota Asean.

Najib berkata sebagai memenuhi mandat sebagai “CEO Malaysia”, beliau berada di sini untuk memperkukuh hubungan perniagaan yang mengikat kedua-dua negara.

Beliau berkata menerusi Komuniti Ekonomi Asean atau rangka kerja AEC, yang akan menjadi kenyataan pada 31 Dis 2015, kesemua 10 ekonomi Asean akan bersepadu sebagai pasaran tunggal dengan dagangan, pelaburan dan pengeluaran yang seragam.

“Ini lebih penting lagi bagi Malaysia, yang akan mengambil alih jawatan pengerusi Asean pada 2015. Hakikat bahawa AEC dijadual dilancarkan semasa tempoh itu, perlu diberikan perhatian.

“Kami sudah memulakan aktiviti memandangkan kami yakin sepenuhnya bahawa masa depan Malaysia, dan mungkin masa depan anda, bergantung dalam memanfaatkan potensi yang ditawarkan oleh Malaysia dan Kuala Lumpur, sebagai hab perniagaan AEC, katanya.

Perdana Menteri berkata pelancaran AEC akan diikuti Usaha Sama Ekonomi Komprehensif Serantau atau RCEP, pakatan yang akan mengikat 10 negara anggota Asean +6 menjelang 2015.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");