Sukan Hari Ini

Pelumba TSG takluk laluan Bentong-Raub

TOB04_200813_BORNEO

Bentong: Pelumba terkemuka Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Shahrul Mat Amin terus membuktikan keperkasaannya apabila muncul juara acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Kejohanan Grand Prix Kebangsaan 2013 Sirkit Pahang (GP Pahang) dari Bentong-Raub-Bentong sejauh 210 kilometer semalam.

Kejayaan itu bermakna pendaki terkemuka TSG tersebut kini melakukan kemenangan berganda selepas menjuarai Grand Prix Kebangsaan 2013 Sirkit Perlis (GP Perlis) di Kangar Jun lalu, selain mengucup gelaran juara kebangsaan 2013 untuk kali kedua sepanjang kariernya pada kejohanan yang sama.

Namun, Mohd Shahrul yang merakam masa 5 jam 27 minit 17 saat hampir kempunan apabila pemenang tempat kedua, Muhammad Rauf Nur Misbah dari pasukan kebangsaan Malaysia lebih gah memimpin aksi tatkala perlumbaan berbaki 500 meter.

Jupha kuasai elit wanita

Bagaimanapun, tonggak TSG itu memintas Muhammad Rauf – anak jati Sekinchan, Selangor yang bertindak berani ‘ala kamikaze’ sesudah melakukan gerakan pemecahan pada 1 kilometer terakhir sekali gus menyebabkan dua lagi pelumba lain iaitu Nik Mohd Azwan Zulkiflie dan Nur Amirull Fakruddin Mazuki, gagal mengekalkan rentak kayuhan.

Muhammad Rauf menduduki tempat kedua dengan catatan masa sama dengan Mohd Shahrul manakala Nik Mohd Azwan – tonggak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang masih segar dengan kemenangan berpasukan di Tour de Borneo 2013 (TdB 2013) merakam masa 5:28:08s.

“Sebenarnya selepas berkayuh 150 kilometer, saya hampir tercicir daripada kelompok break-away (pemisah). Perlumbaan hari ini (semalam) sangat getir. Inilah kali pertama kami berlumba pada jarak 210 kilometer.,” katanya.
Acara elit wanita sejauh 136km pula menyaksikan pelumba pelapis kebangsaan, Jupha Somnet bijak menggunakan kesempatan apabila menghenjut daripada belakang untuk muncul juara dengan catatan masa 4:20:06s.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");