Jenayah

Pencuri beri alasan mahu rawat anak

curi

Tertuduh terpaksa meringkuk di dalam penjara lima bulan selepas mengaku bersalah mencuri di sebuah pasar raya:-

KUANTAN – Seorang bapa kepada dua anak dihukum penjara lima bulan dan denda RM1,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan, semalam atas tuduhan mencuri tiga helai kemeja-T jenama terkenal bernilai RM467 di sebuah pasar raya di sini, 1 September lalu.

Tertuduh, Wong Chee Voon, 38 dari Perumahan Seri Inderapura dekat sini dalam rayuannya sebelum itu mengaku terpaksa mencuri pakaian tersebut semata-mata untuk mendapatkan wang bagi menampung kos rawatan salah seorang anaknya yang dijangkiti cacar air.

Menurutnya, dia buntu dan tiada pilihan lain kecuali mencuri untuk mendapatkan wang supaya dapat menghantar anaknya ke klinik untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, Majistret Jesseca Daimis berpendapat, tertuduh hanya sekadar memberikan alasan sedangkan dia tidak pernah serik untuk mencuri walaupun pernah dipenjarakan berturut-turut sejak 2004 hingga 2006 atas kesalahan sama.

“Kamu juga turut menerima hukuman penjara kerana kesalahan memiliki dadah pada 2008, namun hukuman itu gagal menyedarkan kamu untuk terus melakukan jenayah,” tegur Jesseca sebelum menjatuhkan hukuman.

Tertuduh yang minta hukuman ke atasnya diringankan memberitahu mahkamah bahawa kesalahan lampau yang dilakukan tidak wajar dijadikan faktor pemberat hukumannya memandangkan ketika itu dia belum matang untuk berfikir.

“Sekarang saya sudah boleh berfikir dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan pada masa akan datang, malah saya bertekad untuk menjadi orang yang berguna kepada keluarga dan masyarakat,” janjinya.

Chee Voon tertangkap dan diserahkan kepada polis selepas perbuatannya mencuri pakaian di pasar raya itu kira-kira jam 12.25 tengah hari, 1 September lalu disedari pekerja.

Tertuduh berjaya ditahan di pintu masuk ketika cuba membawa keluar pakaian tersebut dengan mengelak daripada membayarnya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan T Murugesu.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");