Sukan Hari Ini

Perlu ada misi!

serbegth singh

Kuala Lumpur: Kesediaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berbelanja besar untuk mengambil jurulatih luar akan menjadi langkah sia-sia jika badan induk itu sendiri tidak mempunyai misi yang mahu dicapai.

Pandangan itu disuarakan bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh yang menggesa FAM menetapkan misi jelas sebelum memilih ketua jurulatih baru untuk menggantikan Datuk K Rajagobal yang bakal tamat kontrak hujung tahun ini.

“Bagi saya apa yang penting kalau nak mengambil jurulatih baru, FAM kena tetapkan misi dulu. Untuk apa mereka mengambil jurulatih bertaraf dunia tanpa hala tuju. Jurulatih baru yang akan dilantik FAM perlulah selari dengan misi yang mahu dicapai, takkan Philippe Troussier nak datang Malaysia semata-mata untuk menang Piala AFF.

“Sebagai contoh, FAM menetapkan misi untuk Malaysia layak ke Piala Dunia 2018, jadi kita ambil jurulatih yang mempunyai pengalaman bagi membawa pasukan ke Piala Dunia dengan membentuk pasukan dalam tempoh lima tahun akan datang. “Jika FAM mahu ‘pandang ke Barat’ dalam memilih jurulatih, carilah mereka yang berjaya di Eropah bukannya di Asia atau Afrika. Kalau betul-betul mahu berbelanja besar, buat seperti Korea Selatan yang melantik Guus Hiddink sebelum ini. Kalau jurulatih terkenal Marcello Lipi boleh melatih kelab di China, kita juga boleh mendapat jurulatih seperti itu jika mempunyai kewangan yang baik,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Perbincangan mengenai siapa yang layak mengendalikan skuad Harimau Malaya sekiranya FAM tidak mahu menyambung kontrak Rajagobal semakin hangat apabila badan induk itu mengesahkan mereka menerima banyak permohonan dari dalam dan luar negara.

Antara jurulatih luar yang dilaporkan berminat membabitkan bekas pengendali skuad kebangsaan Jepun Troussier, bekas jurulatih kelab Inggeris Liverpool, Alex Miller dan bekas jurulatih skuad kebangsaan Singapura, Radojko Avramovic.

Malah dalam laporan Arena Metro semalam, Miller yang menjadi pembantu Rafa Benitez ketika Liverpool memenangi Liga Juara-Juara pada musim 2004/05 percaya beliau mempunyai pengalaman luas untuk menggalas tugas dengan skuad kebangsaan.

Bagaimanapun Serbegeth, pengkritik bola sepak yang kini menjawat jawatan Penasihat Global bagi kelab Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers tidak menolak cadangan untuk melihat calon tempatan menggantikan Rajagobal dengan memilih jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee sebagai pilihan yang sesuai.

“Jika FAM mahu meneruskan kesinambungan, mereka boleh melantik Ong Kim Swee kerana beliau jurulatih tempatan yang bagus dan cukup mengenali pemain. Jika FAM tetap berhasrat mahu mengambil jurulatih luar misalnya Giovanni Trapattoni yang sudah tidak lagi bersama Republik Ireland, Kim Swee perlu ada dalam barisan kejurulatihan baru itu untuk membantu,” katanya.

-Metro Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");