Jenayah

Pesawah bimbang benih padi rosak

SAWAH AIR

Muslan menunjukkan petak sawah padi yang ditenggelami air:-

BAGAN SERAI- Kira-kira 50 pesawah di Parit J dan Parit Ismail 3, di sini bimbang benih anak padi yang baru ditanam oleh mereka dan tumbuh di kawasan sawah seluas 50 hektar musnah ditenggelami air.

Wakil pesawah, Muslan Hanafiah, 37, mendakwa, masalah seumpama itu dialami mereka sejak bermulanya musim tengkujuh dua minggu lalu.

Menurutnya, keadaan tersebut berlaku berpunca daripada air hujan tidak dapat dialirkan keluar ke sungai berdekatan disebabkan sistem parit buang sempit.

Masalah itu dialami petani apabila tiba musim penanaman padi.

“Kami ada mengadu kepada Jabatan Pertanian, bagaimanapun pegawai jabatan terbabit mengatakan, benih padi musnah kerana pesawah gagal menanam padi mengikut jadual ditetapkan.

“Kami akui tidak tanam benih padi ikut jadual ditetapkan, namun kami percaya kerosakan itu sebenarnya berpunca daripada kemasukan bekalan air melebihi had ke dalam petak sawah,” katanya ketika ditemui di Parit Haji Ismail 3, di sini kelmarin.

Muslan berkata, pada musim penanaman kali ini, kebanyakan pesawah bakal menanggung kerugian lebih besar memandangkan majoriti mereka menggunakan benih padi kebal yang hanya memerlukan sedikit air pada peringkat awal tumbesaran.

Menurutnya, apabila anak padi mula tumbuh, air yang mengalir ke sawah dan bertakung di dalamnya menenggelamkan anak padi.

Katanya, situasi itu menjadi mimpi ngeri buat pesawah kerana benih padi akan mati akibat terlebih air.

“Selain masalah gelung air dan parit sempit, pintu air utama yang jarang diselenggara memburukkan lagi keadaan kerana sampah sering memenuhi perangkap sampah yang dipasang.

“Pesawah membersihkan terpaksa membersihkan sendiri sampah itu, namun penyelenggaraan pintu air dan naik taraf sistem perparitan perlu dilakukan untuk memudahkan kami,” katanya.

Zulkifli Saad, 44, pula berkata, petani akan menanggung kerugian besar sekiranya masalah tersebut tidak diselesaikan segera.

Katanya, dia berharap pihak berwajib seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Pertanian meninjau masalah mereka itu.

Sementara itu, Adun Gunung Semanggol, Mohd Zawawi Abu Hassan ketika ditemui berkata, JPS Kerian, Jabatan Pertanian dan IADA perlu meneliti semula sistem perparitan di kawasan terbabit bagi mengelak pesawah rugi besar.

“Pihak bertanggungjawab perlu lebih peka terhadap masalah pesawah di sini memandangkan mereka hanya bergantung harap pada tanaman padi diusahakan,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");