Sukan Hari Ini

‘Saya optimis tiada pemain akan keluar’

Jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee

Kuala Lumpur: Jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee yakin sebilangan besar pemainnya akan menyambung kontrak baru bersama pasukan itu biarpun mereka dilaporkan mendapat tawaran lumayan pasukan negeri dan kelab Liga Malaysia (Liga-M).

Biarpun masih belum memutuskan senarai akhir pemain yang akan dikekalkan apabila kontrak 25 pemain tamat hujung Disember ini, beliau menyatakan barisan pemainnya menunjukkan komitmen tinggi untuk terus bersama.

“Secara jujur saya menyatakan sehingga ke hari ini saya belum didatangi mana-mana pemain yang menyatakan hasrat mahu beraksi dengan pasukan negeri atau kelab. Mereka semua cukup komited untuk kekal bersama dan saya optimis tiada pemain yang akan keluar kerana mereka cukup gembira bersama Harimau Muda.

“Bersama Harimau Muda, mereka mendapat pendedahan luas yang sukar untuk mereka peroleh dengan pasukan luar. Justeru, saya harap tiada unsur paksaan terhadap pemain saya untuk menerima tawaran mana-mana pasukan luar,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan pemain Harimau Muda A menjadi sasaran utama pasukan dan kelab Liga-M yang mahu memperkuatkan pasukan musim depan apabila pemain dibenarkan mengadakan rundingan kontrak baru tiga bulan sebelum kontrak tamat.

Johor Darul Takzim antara yang dilaporkan berhasrat memancing tiga pemain Harimau Muda iaitu Md Fadhli Mohd Shas, Irfan Fazail dan Fandi Othman namun sehingga kini perkara itu belum disahkan lagi.

Menurut Kim Swee, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, Isnin ini bagi mengeluarkan senarai akhir pemain yang akan ditawarkan kontrak baru.

Bagaimanapun tiga pemain akan dilepaskan kerana akan melebihi umur 23 tahun iaitu pemain pertahanan Muhd Hazwan Rahman, Mohd Syahid Zaidon (tengah) dan Izzaq Faris Ramlan (penyerang).

“Buat masa ini, saya belum ada senarai akhir kerana banyak aspek perlu diteliti di samping menilai prestasi mereka sepanjang musim ini yang menjadi asas pertimbangan utama,” katanya yang mahu isu kontrak pemain diselesaikan segera bagi mengelakkan fokus pemain terganggu menjelang misi ke Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");