Jenayah

Tanam labu dapat RM15K

labuPeserta Projek Pertanian Kelompok Sayur Kuala Por menunjukkan hasil labu diusahakan mereka:-

KUALA BERANG – Berbudi pada tanah pasti ada hasilnya. Itulah dibuktikan peserta Projek Pertanian Kelompok Sayur Kampung Kuala Por di sini yang mengusahakan pelbagai tanaman sejak 20 tahun lalu sebagai sumber pendapatan.

Terbaru, peserta terbabit sekali lagi memperoleh habuan apabila tanaman labu diusahakan mereka awal Jun lalu, mengeluarkan hasil kira-kira 24 tan dengan pendapatan kasar dianggarkan sekitar RM15,000.

Ketua peserta, Jaafar Abdullah, 59, berkata, tanaman labu kira-kira 3.2 hektar itu diusahakan 16 peserta dan enam daripada mereka di bawah Projek Organisasi Komuniti sekali gus menerima bantuan bulanan daripada JKM.

Menurutnya, keluasan sebenar kawasan itu adalah kira-kira 9.7 hektar dengan mengusahakan pelbagai tanaman jangka pendek termasuk timun dan cili.

“Asalnya, kawasan ini merupakan tanah terbiar milik persendirian. Selain menjana pendapatan, projek ini juga dapat membersihkan kawasan. Kebanyakan peserta juga mengusahakan projek atas tanah disewa.

“Projek ini mendapat kerjasama dan dipantau Pejabat Pertanian Daerah Hulu Terengganu, manakala pasaran pula diurus sepenuhnya Pejabat Fama Daerah Hulu Terengganu. Projek ini terbukti membantu menjana pendapatan peserta yang ada antaranya turut mencari rezeki sebagai pekebun getah,” katanya, kelmarin.

Jaafar yang juga Pengerusi JKKK Kuala Por berkata, pihaknya bukan sahaja berhasrat meneruskan untuk pusingan kedua, tetapi juga memperluaskan lagi tanaman labu tersebut.

Malah katanya, pada awal tahun hadapan, tanaman labu itu dijangka diperluaskan lagi kepada kira-kira 4.8 hektar untuk menggalakkan belia terlibat dengan sektor pertanian.

“Dijangka antara enam hingga 10 belia akan terlibat dengan projek ini. Buat masa ini, kita mengenal pasti beberapa individu berminat. Jika tiada halangan, projek ini dapat memberikan dimensi baru kepada belia di sini,” katanya.

Sementara itu, peserta di bawah JKM, Yusof Mat Zin, 58, berkata, biarpun tiada pengalaman mengusahakan tanaman labu, dia terus bersetuju untuk menjadi peserta apabila dimaklumkan mengenai projek tersebut.

“Berkebun memang tidak asing bagi pakcik, tetapi biasanya hanya tanam cili atau timun. Bagaimanapun, pakcik ingin mencuba kerana yakin dengan tunjuk ajar pelbagai pihak dan jabatan terlibat.

“Selain hasil menoreh getah, pakcik turut mendapat bantuan bulanan RM300 daripada JKM. Melalui projek tanaman labu seluas kira-kira 0.2 hektar ini, dapat juga tambah pendapatan pakcik,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");