Isu Panas

‘Tiada lagi bayangan Pak Lah’

khairy jamaluddin 3

SHAH ALAM – Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menafikan beliau melalui jalan mudah untuk menyandang jawatan ketua pemuda parti terbesar itu pada pemilihan lalu kerana bergelar menantu presiden.

Hakikatnya menurut Khairy, menjadi menantu kepada perdana menteri dan presiden Umno ketika itu, bukanlah jalan pintas untuk dirinya menang bahkan terpaksa melalui detik “amat sukar”.

“Pada pemilihan parti yang lepas, walaupun Pak Lah masih lagi presiden, tetapi dia presiden yang akan melepaskan jawatan dalam perhimpunan agung parti pada 2009.

“Jadi pada saya, tidak ada apa-apa kelebihan pada waktu itu menjadi menantu Pak Lah sebenarnya,” katanya dalam wawancara bersama Bernama.

“Saya bertanding pada 2009 menentang Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir dalam keadaan yang amat sukar sekali keadaan yang boleh saya katakan ‘hostile’.

“Tapi dalam keadaan begitu saya diberi amanah oleh perwakilan untuk menjadi Ketua Pemuda,” katanya lagi.

Khairy ditanya bagaimana beliau melihat pemilihan kali ini setelah ketiadaaan Pak Lah dalam tampuk pentadbiran negara dan parti.

“Kalau pada 2009, saya hadapi keadaan yang hostile dan sukar untuk saya, kali ini tidak ada apa-apa lagi persepsi tentang perkara itu,” ujarnya.

Pada pemilihan kali ini Khairy yang tekad mahu mempertahankan jawatan ketua pemuda akan dicabar empat lagi calon termasuk Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Setiawangsa, Irwan Ambak, Ketua Cawangan Umno Bendang Baru, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Rembau ini membayangkan bahawa pemilihan Umno Oktober depan adalah penggal terakhirnya dalam sayap parti tersebut.

“Saya secara sukarela selepas penggal ini dan saya mencapai umur 41 tahun, walaupun masih boleh lagi bertanding Ketua Pemuda, amat penting bagi kita menunjuk teladan yang baik.

“Sudah sampai dua penggal dah masuk usia 41 tahun, saya rasa adalah paling baik untuk meninggalkan zaman Pemuda dan serahkannya kepada pemimpin lain,” katanya.

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini pernah menuduh Khairy sebagai salah satu faktor yang menyebabkan BN kalah teruk pada 2008.

Namun kenyataan itu disanggah oleh bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah yang juga pengerusi BN berkata, Khairy tidak mempengaruhi sebarang tindakan yang diambilnya dan jika ada pandangan dan pendapatnya yang bersamaan dengan keputusan kerajaan, ia adalah suatu kebetulan.

“Saya kasihan pada Khairy kerana hubungannya dengan saya telah menyebabkan timbulnya persepsi seperti ini,” Pak Lah dipetik sebagai berkata selepas BN kalah teruk pada PRU12.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");